HARI
ITU, 29 April, 1954, hari yang paling malang bagi penduduk Semporna.
Hari yang paling celaka, yang mengorbankan nyawa dan harta benda. Malah
ada yang dicabul kehormatan, dirogol dan diperkosa.
Tarikh hitam itu
masih kekal dalam ingatan penduduk yang menyaksikan peristiwa berdarah
akibat perbuatan ganas mundu-mundu (lanun-lanun) yang datangnya entah
dari mana.
Pekan
Semporna yang terletak di pinggir laut itu sepertimana biasa, aman dan
damai. Petang itu, udara menghembus nyaman dari laut yang biru yang
tenang itu.
Padang
bola sepak yang terletak berhampiran dengan Balai Polis Semporna itu
telahpun dipenuhi oleh peminat-peminat bolasepak yang saban petang punya
pengunjungnya. Mereka bermain dengan begitu seronok sekali. Beberapa
anggota polis juga turut bermain untuk mengeluarkan peluh di samping
memupuk hubungan baik dengan masyarakat setempat.
Balai
Polis Semporna yang terletak di bawah Kawalan Ketua Polis Daerah (OCPD)
Lahad Datu mempunyai keanggotaan 7 orang sahaja. Ketua Polis Balai
(OCS) nya ialah Sarjan Sagar Singh.
Perhubungan
antara Balai Polis Semporna dengan Ibu Pejabat Daerahnya di Lahad Datu
hanya menerusi radio wireless dan jalan laut sahaja yang memakan masa
lebih kurang 10 jam perjalanan.
Peristiwa
berdarah itu masih segar dalam ingatan Bullah Ganggal, bekas pegawai
polis yang baru bersara dengan pangkat Penolong Penguasa Polis (ASP).
Bullah, keturunan Kadazan, semasa kejadian itu bertugas di balai polis
tersebut dengan pangkat Detektif Lans Koperal.
“Segala-galanya
bermula pada jam 5.30 petang. Pada masa itu penduduk-penduduk Semporna
sedang berehat setelah kembali dari menangkap ikan,” Bullah Ganggal
memulakan ceritanya.
“Para
pemuda pula sedang seronok bermain bola. Ia turut berada berhampiran
padang bola itu. Tiba-tiba bunyi tembak bertalu-talu dari arah jeti yang
tidak jauh dari situ”, katanya.
“Orang
di pekan dan di padang itu lari bercempera sambil berteriak, mundu!
mundu! (Lanun! Lanun!) cepat lari. Masing-masing mencari tempat
perlindungan".
“Melihatkan
keadaan kelam-kabut dan serangan mengejut lanun itu, Sarjan Sagar Singh
segera memerintahkan orang-orangnya bersiap sedia. Ia memerintahkan
saya membawa isteri dan anak-anak anggota polis Semporna berlindung di
balai. Ini disebabkan keadaan di balai itu lebih selamat kerana adanya
pagar berduri dan segala senjatapi serta peluru ada di sana".
Lans
Koperal Bullah Ganggal segera bertindak dengan menjerit memanggil semua
isteri dan anak-anak polis untuk mengikutnya ke balai.
“Belum
sempat isteri-isteri dan anak-anak polis itu saya lindungkan di balai,
saya lihat dari celah-celah lubang berek kami, lanun-lanun yang ramainya
tidak kurang 50 hingga 70 orang itu telahpun hampir dengan Balai Polis
Semporna. Mereka berpecah kepada dua kumpulan. Satu kumpulan mara ke
balai polis satu lagi ke arah bot jabatan hutan”.
Sementara
itu di Balai Polis, Sarjan Sagar Singh dengan dibantu oleh
orang-orangnya iaitu PC 442 Sulaiman dan PC Jambuan memuntahkan peluru
ke arah lanun-lanun yang begitu ramai itu. Sarjan Sagar Singh dan
orang-orangnya sekali-kali tidak mahu menyerah kalah kepada lanun-lanun
itu sekalipun terpaksa mengorbankan nyawa mereka.
Sambil
memuntahkan peluru ke arah balai yang dipertahankan bermati-matian oleh
Sarjan Sagar Singh itu, lanun itu memusnahkan alat-alat hubungan
wireless di luar balai itu. Dengan itu hubungan Balai Polis Semporna
dengan Ibu Pejabat Daerah Polis Lahad Datu terputus terus.
“Kita
mesti pertahankan balai ini hingga ke titisan darah terakhir. Biar
putih tulang, jangan putih mata”, kata Sagar Singh kepada dua orang
anggotanya dengan penuh semangat dan mereka terus melawan dengan
beraninya.
Bullah
yang ditugaskan melindungi isteri dan anak-anak polis tidak dapat
berbuat apa-apa kerana pada masa itu senjata tiada di tangannya. Kalau
dia keluar tanpa senjata tentu seperti menyerah diri tanpa berlawan. Ia
melihat bagaimana rakannya PC Jambuan yang kehabisan peluru ditikam
dengan barung (parang) oleh lanun-lanun itu. Ia dibunuh dengan kejam
sekali dan perutnya diburaikan.
Akhirnya
kerana kehabisan peluru dan lanun-lanun yang ramai itu bersenjatakan
senjata-senjata automatik, maka Sarjan Sagar Singh dan dua orang
anggotanya terkorban.
Bullah
cuba untuk keluar dari tempat persembunyian untuk memberi bantuan
tetapi dihalang oleh permintaan isteri Sarjan Sagar dan isteri-isteri
anggota polis yang lain supaya jangan pergi dan melindungi mereka di
situ.
Bila
saja lanun-lanun itu mendapati Sarjan Sagar dan orang-orangnya
terkorban, mereka lalu merempuh ke dalam balai polis. Bilik radio polis
dipecah dan alat-alatnya dimusnahkan. Mereka juga memecahkan bilik besi
tempat menyimpan senjatapi dan peluru, lalu merampasnya.
Lanun-lanun
itu semakin menganas. Senjatapi mereka ditembak ke sana ke mari. Mereka
terus menggeledah seluruh rumah dan kedai di pekan Semporna.
“Apa
yang saya dengar lepas itu ialah teriakan dan jeritan minta tolong oleh
mangsa-mangsa lanun-lanun yang jahat itu. Mereka bukan sahaja merompak,
mengambil apa sahaja barang-barang berharga, makanan, malah mereka juga
merogol wanita dan anak dara. Mereka sungguh kejam dan tidak
berkeperimanusiaan langsung,” kata Bullah dengan perasaan amat geram.
“Apakan
daya masa itu saya tidak bersenjata dan memikirkan pula keselamatan
anak isteri anggota-anggota polis. Saya kesal tidak dapat membantu
kawan-kawan saya yang gugur sebagai perwira negara".
“Lanun-lanun
celaka itu telah bermaharajalela selama 3 jam iaitu dari jam 5.30
hingga 8.30 malam di pekan Semporna. Mereka melakukan pelbagai dosa yang
tidak dapat diampun", terang beliau lagi.
Menurut
Bullah ia tidak tahu dari mana datangnya lanun-lanun itu tetapi ia
mengagakkan dari percakapannya adalah dari Seberang (Filipina).
Selama
3 jam Semporna telah menjadi neraka. Lanun-lanun bertindak
sewenang-wenangnya kerana tiada siapa berani melawannya. Akibatnya,
Semporna musnah semacam diserang garuda, menjadi padang jarak padang
tekukur.
Setelah
lanun-lanun itu puas memuaskan hawa nasfu, mereka segera menghilangkan
diri di lautan luas dengan kumpit-kumpit (perahu) yang dilengkapi dengan
motosangkut laju.
“Bila
mendapati lanun-lanun itu berlalu, saya dan anak isteri anggota-anggota
polis keluar dari tempat persembunyian di berek polis itu. Betapa sedih
hati saya melihatkan rakan-rakan saya, Sarjan Sagar, PC Jambuan, PC
Gimun terkorban. Mayat mereka yang berlumuran darah itu dipeluk dan
ditangisi oleh anak dan isteri masing-masing. Saya turut menitiskan air
mata melihatkan peristiwa itu. Hingga hari ini ianya kekal dalam ingatan
saya,” ceritanya lagi.
Bullah
segera mengambilalih tugas Ketua Polis Balai. Didapatinya dua orang
anggotanya masih hidup. Mereka itu sedang bermain bola ketika lanun
menyerang. Oleh kerana tidak sempat lari ke balai, mereka terpaksa
bersembunyi.
Setelah
menguruskan mayat empat orang rakannya, Bullah terus berbincang dengan
Ketua Anak Negeri (Penghulu) Semporna, Panglima Jakarullah yang telahpun
tiba di balai bersama-sama orangnya.
Dengan
bantuan mereka, dia membuat rondaan di sekitar bandar Semporna untuk
mengumpul mayat dan memberi pertolongan kepada orang yang cedera akibat
kekejaman lanun-lanun tadi.
Hasilnya
mereka menemui mayat seorang pegawai hutan British, seorang pekedai
Cina (tukang jahit) dan seorang pemuda Bajau Semunul. Mayat -mayat itu
dibawa ke balai polis untuk diuruskan.
Bullah seterusnya mengadakan perbincangan dengan Panglima Jakarullah dan orangnya pada malam kejadian itu.
Mereka
mengambil keputusan untuk menghantar dua orang awam ke Lahad Datu bagi
membawa Pembantu Hospital Harry Chew dan Lian Chap Yit yang luka parah
mendapat rawatan. Di samping itu mereka juga diarahkan meminta bantuan
segera dari KPD Lahad Datu yang tidak dapat dihubungi menerusi wireless
radio.
Pada
malam itu Bullah dan Panglima Jakarullah serta orangnya mengambil
keputusan untuk berjaga dan berwaspada bagi menentang lanun-lanun yang
mungkin datang sekali lagi.
Petang
esoknya, 30 Mac barulah rombongan yang diketuai oleh Pegawai Daerah
Lahad Datu, Mr.Dalimore dan Ketua Polis Daerah (OCPD), Mr.W.R.H. Roberts
tiba untuk menyaksikan pekan Semporna yang hampir menjadi padang jarak
padang tekukur itu.
Peristiwa
ngeri itu amat menakutkan penduduk-penduduk Semporna. Ada di antara
mereka yang lari bersembunyi tidak mahu balik ke rumah beberapa hari
kerana takutkan lanun mengganas lagi. Seorang kakitangan kerajaan yang
bertugas di Semporna, ketika kejadian itu terus jadi 'gagap' hingga ke
hari ini kerana terlampau terkejut, gamam dan ketakutan.
(Sumber: Berita Bukit Aman, 1983)