Bumi dan tanah rahmat, bagi kedua-dua
pihak Islam dan Yahudi, tanah yang didiami oleh Palestin dan Israel
sekarang merupakan tanah yang istimewa, yang telah ditentukan oleh Allah
sejak ribuan tahun lampau.
Bagi umat Islam, di tanah inilah
terbinanya Masjidil Aqsa, iaitu masjid ketiga paling mulia di dunia ini,
setelah Masjidil Haram dan Masjid Nabawi.
Bagi penganut Yahudi pula, tanah tersebut merupakan ‘Tanah Yang Dijanjikan Tuhan’ kepada mereka.
Di situlah nenek moyang mereka berasal
(Bani Israel), dan di situlah kampung halaman mereka. Mereka percaya, di
tanah itulah terletaknya Bukit Zion, dan situlah tertanamnya Temple of
Solomon, iaitu kuil suci mereka.
Atas kedua-dua sebab inilah, tanah
tersebut menjadi rebutan antara Muslim dan Yahudi sejak dari dahulu,
hinggalah membawa kepada pertumpahan darah sekarang.
Bagaimana dengan Kristian pula? Kristian
juga, menganggap tanah tersebut sebagai tanah suci. Di Temple of
Nazareth, yang terletak di tanah tersebut, merupakan tempat kelahiran
Nabi Isa.
Di tanah itulah Nabi Isa menyampaikan ajarannya, dan di tanah itu jugalah Nabi Isa disalib (mengikut kepercayaan kristian).
Sejarah Awal
Sebenarnya sejarah bani Israel wujud
sedari zaman Nabi Ibrahim lagi. Namun, kita susuri sedari kependudukan
Bani Israel itu di Mesir, sepertimana yang diutuskan Nabi Musa a.s
kepada mereka.
Kita tahu melalui al-Quran, bahawa
Firaun dan tenteranya mengejar Nabi Musa dan kaumnya sehingga ke Laut
Merah, di mana ketika itu Nabi Musa menggunakan mukjizatnya membelah dan
menyeberangi lautan tersebut.
Setelah itulah Nabi Musa dan kaumnya Bani Israel mendiami tanah Palestin tersebut.
Kita boleh baca sendiri dalam al-Quran,
betapa kaum ini semakin lama semakin besar kepala, meminta yang pelbagai
daripada Nabi Musa dan sebagainya.
Kita juga boleh lihat kisah Talut dan
Jalut yang berlaku setelah kewafatan Nabi Musa, sebagaimana yang
diceritakan dalam al-Quran melalui surah al-Baqarah.
Setelah Talut menawan kembali tanah
Palestin daripada kekuasaan Jalut, tampuk pemerintahan Palestin
disambung pula oleh Nabi Daud. Seterusnya disambung oleh Nabi Sulaiman,
dengan bala tenteranya dan kegemilangan kerajaannya (termasuk haiwan,
jin dan angin).
Palestin dimiliki oleh Bani Israel, sehinggalah lebih kurang 60 tahun sebelum kelahiran Nabi Isa.
Pada tempoh ini, kerajaan Rom menekan
kependudukan Bani Israel di tanah Palestin tersebut, sehinggalah
akhirnya tanah Palestin dijarah oleh tentera Rom dan kaum Bani Israel
diusir keluar lalu tersebarlah kaum Bani Israel, atau dikenali sekarang
sebagai Yahudi, ke serata dunia.
Sejak itu, tanah Palestin menjadi milik kerajaan Rom.
Sehinggalah setelah kelahiran Nabi Isa, seterusnya kewujudan agama Kristian.
Lebih kurang pada tahun 300 Masihi,
kerajaan Rom di bawah pemerintahan Raja Constantine yang menjadikan
Constantinople sebagai pusat pemerintahan, mengalami Kristianisasi.
Sejak dari tempoh tersebut, kerajaan Rom menguasai Palestin.
Kedatangan Islam
Palestin kekal di bawah milik kerajaan
Rom sehinggalah kelahiran Nabi kita Muhammad s.a.w. Setelah Rasulullah
berjaya menubuhkan empayar Islam, beliau wafat pada 632 Masihi.
Empayar Islam semakin berkembang dan
Palestin berjaya ditawan dari kerajaan Rom pada tahun 638 Masihi. Maka
sedari itulah Palestin menjadi milik Islam, sebagai tanah suci yang
ketiga selepas Makkah dan Madinah.
Sepanjang tempoh tersebut, kerajaan Rom
yang telah menjalani Kristianisasi mengalami pelbagai perubahan daripada
sudut struktur pemerintahan.
Bangsa-bangsa asal Eropah seperti Vikings, Magyar dan sebagainya dikristiankan, dan pemerintahan dikuasai oleh golongan gereja.
Sejak dari 1000 Masihi, tentera Kristian
telah melakukan pelbagai usaha menawan kembali Palestin. Pada tahun
1063, Pope Alexander II memberikan ‘fatwa’ mengerahkan penganut Kristian
untuk berjuang mendapatkan kembali Palestin, dan barangsiapa yang
berjuang diberikan status kemuliaan dan pengampunan tertinggi.
Itulah yang dikenali sebagai Perang Salib (Crusades).
Akhirnya pada tahun 1099, tentera Salib berjaya menawan Palestin, dan menguasai tanah suci tersebut selama hampir 200 tahun.
Menawan Semula
Setelah Palestin ditawan, kerajaan Islam yang sedia ada konflik dalaman pada ketika itu, semakin hilang semangat.
Keadaan berlanjutan sehinggalah lahirnya seorang pemimpin agung, yang dikenali sebagai Salahuddin Al Ayyubi.
Salahuddin Al Ayyubi, menyatukan
masyarakat Arab yang ketika itu berpecah belah akibat perbezaan mazhab
dan aliran, seterusnya membawa tentera Islam menyerang kembali Palestin.
Akhirnya, pada sekitar tahun 1187, ibu
negara Palestin berjaya ditawan, dan pada tahun 1291 kubu terakhir
tentera Salib di tanah suci tersebut berjaya dimusnahkan.
Sejak itulah tanah suci Palestin kekal di bawah pemerintahan Islam dengan aman damai.
Malahan, penduduk asal Palestin iaitu
Yahudi/Bani Israel dibenarkan pulang ke kampung halaman mereka, walaupun
masih ramai yang bermastautin di luar.
Kerajaan Islam berkembang meluas, hinggalah masuk ke era pemerintahan Turki Uthmaniyyah.
Zaman Turki Uthmaniyyah mengalami kejatuhan sejak dari abad ke-19 lagi.
Proses modenisasi semakin berlaku, dan
kebergantungan terhadap kuasa barat semakin wujud. Krisis-krisis dan
konflik dalaman melemahkan lagi kekuasaan empayar Turki Uthmaniyyah.
Khalifah pada masa tersebut hanyalah
pada nama. Empayar Islam semakin lemah, di bawah kekuasaan barat seperti
Britain dan Perancis.
Perang Dunia Pertama
Akhirnya, pada tahun 1914, tercetusnya
Perang Dunia Pertama. Perang ini terdiri daripada dua kuasa besar; iaitu
Pakatan Bertiga Britain-Perancis-Rusia menentang Pakatan Pusat iaitu
Jerman dan Austria/Hungary.
Setelah perang berterusan, negara-negara
lain seperti Amerika Syarikat dan Itali menyertai Pakatan Bertiga,
manakala Kerajaan Turki Uthmaniyah pula menyertai Pakatan Pusat.
Berada di bawah Pakatan Pusat, kerajaan
Turki Uthmaniyyah diserang hebat oleh Pakatan Bertiga
Britain-Perancis-Russia. Kerajaan Islam Timur diserang dan ditawan oleh
Britain.
Kerajaan Islam Barat yang menjangkau hingga ke Algeria dan Sudan manakala negara-negara utara Afrika dikuasai oleh Perancis.
Kerajaan Islam juga diserang dari utara oleh Rusia, menyaksikan Rusia menawan kawasan utara kerajaan Islam.
Perlu diberi perhatian bahawa pada
ketika ini, masih belum wujud negara bangsa dan kerajaan Islam disatukan
di bawah satu pemerintahan khalifah, manakala setiap kawasan pula
ditadbir oleh gabenor masing-masing.
Perpecahan Negara Arab
Pada ketika tempoh inilah, kerajaan
Turki Uthmaniyyah mengalami konflik yang semakin hebat. Britain melalui
perisiknya yang dikenali sebagai Lawrence of Arabia, menyuburkan
semangat nasionalisme di negara-negara Arab.
Pejuang kebangsaan/nasionalisme Arab pula menyerang kerajaan Turki Uthmaniyyah.
Pemerintah Arab ketika itu, Emir Faisal I, berpaling tadah dan memihak kepada Britain.
Sejak itulah kerajaan Arab menjadi tali
barut Britain. Pada tahun 1915, Britain mula menduduki kawasan Iraq.
Akhirnya pada 1917, Britain menduduki semula kawasan Palestin.
Tentera Britain, diketuai General
Allenby, memasuki Palestin pada 9 Disember 1917 lalu memberi ucapan,
“Hari ini, Perang Salib sudah berakhir”.
Pada 1917, Britain mengisytiharkan
Deklarasi Balfour, iaitu perjanjian antara kerajaan Britain dengan ketua
persatuan Yahudi Britain ketika itu, yang mana antaranya menjanjikan
tanah Palestin kepada Yahudi.
Penempatan Yahudi di Palestin meningkat,
dari 50,000 penduduk sebelum itu kepada mencecah setengah juta
penduduk, manakala penduduk Islam Palestin ketika itu hampir mencecah
1.4 juta.
Wakil daripada Yahudi ketika Deklarasi tersebut merupakan seorang Yahudi bernama Chaim Weizzmann.
Weizzman juga merupakan seorang saintis,
malahan saintis pertama yang menghasilkan bahan kimia acetone,
seterusnya acetone digunakan sebagai cordite, iaitu sejenis bahan
letupan yang menyumbang besar kepada kejayaan Britain dalam perang
tersebut.
Weizzman mendesak Setiausaha Luar Britain ketika itu, Arthur Balfour, supaya diadakan Deklarasi tersebut.
Dek terhutang budi ke atas sumbangan Weizzman, kerajaan Britain bersetuju.
Pada mulanya, Britain menawarkan tanah
di Uganda kepada Weizmann, namun Weizmann menolak dan mahukan Palestin.
Dikatakan, Weizmann bertanya kepada Balfour:
“Encik Balfour, katakanlah saya menawarkan Paris dan London kepada encik, yang mana satukah yang encik mahukan?”
“Tetapi, kami sememangnya sudah memiliki London!”
“Betul itu, tetapi ketika London masih lagi sebuah kawasan paya, kami telahpun memiliki tanah Palestin!”
Akhirnya, British membenarkan kaum Yahudi berhijrah ke tanah Palestin.
Pada tahun 1919, Emir Faisal I ketika
itu pula menandatangani perjanjian antara beliau dengan Chaim Weizzmann,
menyatakan sokongan sepenuhnya beliau dan kerajaan Arab kepada
Deklarasi Balfour.
Pada tahun 1919, berakhirnya Perang Dunia Pertama.
Kerajaan Islam Turki Uthmaniyyah menerima tamparan hebat setelah kehilangan kawasan-kawasannya yang luas, termasuklah Palestin.
British dan Perancis mula menjalankan
kolonisasi di tanah-tanah jajahannya. Bertitik tolak daripada situ
wujudlah negara bangsa, apabila sempadan-sempadan digariskan memisahkan
sempadan agama.
Kejatuhan Turki Uthmaniyyah
Pada tahun 1918, tentera kolonial Britain menduduki pusat pemerintahan Turki Uthmaniyyah, iaitu Istanbul.
Pada tahun 1922, setelah tamat Perang
Dunia Pertama, sebuah Persidangan Lausanne diadakan, yang antaranya
mempunyai beberapa tuntutan seperti sistem khalifah ditamatkan, khalifah
mestilah dibuang negeri, harta khalifah dirampas, dan kerajaan turki
baru akan ditubuhkan atas dasar sekular.
Ya, persidangan tersebut menjanjikan kemerdekaan ke atas negara Turki.
Seorang ahli Parlimen Turki pernah
bertanya kepada Lord Curzon, ketua perunding pihak pakatan ketika itu,
“Kenapa hanya Turki dimerdekakan, sedangkan negara-negara Arab yang lain
masih di bawah pemerintahan kolonial?”
Lord Curzon menjawab, “Hakikatnya Turki
telah dimusnahkan dan tidak akan bangkit lagi, kerana kita telah
menghancurkan kekuatannya – Khalifah dan Islam”.
Dalangnya utamanya, Mustafa Kamal
Attartuk. Dia mengeluarkan ugutan ke atas kabinet Turki ketika itu, lalu
merombak parlimen sedia ada yang tidak bersetuju dengan persidangan
tersebut.
Parlimen kedua yang ditubuhkan juga tidak bersetuju dengan persidangan tersebut.
Akhirnya, Mustafa Kamal Attartuk
mengadakan konspirasi politik lalu merampas tampuk pemerintahan. 3 Mac
1924, kerajaan khalifah secara rasminya ditamatkan.
Pada pagi hari tersebut juga, khalifah terakhir, Khalifah Abdul Mejid II, diusir keluar dan dibuang negeri.
Mustafa Kamal Attartuk mengambil mengambil takhta, dan proses pengsekularan bermula.
Holocaust
Keadaan berterusan, sehinggalah naiknya seorang pemerintah Jerman ketika itu, iaitu Adolf Hitler.
Ketika tercetusnya perang dunia kedua
oleh beberapa sebab, Hitler melaksanakan pelan pemusnahan kaum yang
dikenali sebagai Action T4.
Pelan ini merencanakan pembunuhan Euthanasia beramai-ramai keatas golongan tertentu, majoritinya Yahudi.
Setelah tamat Perang Dunia Kedua, dianggarkan hampir seramai 6 juta Yahudi di seluruh Eropah mati dibunuh.
Setelah mengalami kerugian yang besar, Britain berundur dari Palestin dan tanah-tanah jajahannya yang lain pada 1948.
Penglibatan Amerika Syarikat
Amerika Syarikat, selaku kuasa besar dunia setelah Perang Dunia Kedua, memainkan peranan penting dalam penubuhan negara Israel.
Pada asalnya, Israel tidaklah wujud sebagai sebuah negara yang hakiki.
Setelah Holocaust yang dilakukan oleh
Hitler tamat, jumlah penduduk Yahudi yang ada adalah sedikit, serta
mereka hidup dalam kesusahan dan ketakutan.
Pada ketika itulah, Persatuan Yahudi Amerika mengutuskan tuntutan kepada Presiden Amerika Syarikat ketika itu, Harry Truman.
Pada November 1947, tuntutan tersebut
dibawa ke persidangan Persatuan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) lalu
pemisahan Palestin dideklarasikan.
Pada 16 May 1948, kerajaan sementara Israel ditubuhkan di Palestin, dengan sokongan dari PBB.
Presiden Harry Truman menyokong sepenuhnya penubuhan Israel, maka wujudlah penempatan Israel di tanah Palestin sehingga kini.
Presiden Israel yang pertama ialah Chaim Weizmann.
Palestin Sekarang
Sedari peristiwa Holocaust, ramai Yahudi
berhijrah ke Amerika atas dasar terbuka negara tersebut terhadap
mereka, serta ramai juga yang pulang ke tanah air di Israel.
Yahudi di Amerika diterima dengan tangan
terbuka, bantuan dan pekerjaan diberikan kepada mereka atas dasar belas
kasihan akibat Holocaust tersebut.
Dari situlah, Yahudi di Amerika berkembang dan memegang tampuk ekonomi dan pentadbiran Amerika.
Amerika, selaku kuasa besar dunia
setelah Perang Dunia Kedua, memberikan sokongan tanpa putus-putus kepada
negara Israel, yang didirikan di atas tanah Palestin yang dirampas
secara haram.
Sehingga kini, Israel terus-terusan
menyerang Palestin dalam usaha meluaskan sempadannya. Palestin pula
berjihad, dalam usaha menawan kembali Masjidil Aqsa.
Sejak kerajaan khalifah Islam tumbang, tiada sesiapa lagi yang mahu menyokong Palestin.
Negara-negara Islam yang lain tunduk takut dan akur kepada Amerika.
Sampai bila keadaan ini akan berakhir?
Hanya dua; sama ada Palestin akan terus dihapuskan dan Masjidil Aqsa
dimusnahkan dalam usaha mereka mencari Temple of Solomon, ataupun
tertegaknya kembali kerajaan khalifah Islam yang menyokong perjuangan
Palestin.
Di manakah kita? Kita boleh berdiam diri
tidak berbuat apa-apa, sekaligus menjadikan kesudahan yang pertama tadi
sebagai realiti.
Ataupun, kita boleh berusaha melakukan sedaya upaya menyokong perjuangan Palestin, yang membawa kepada kesudahan yang kedua.
Fikir-fikirkan.