Isnin, 9 Mac 2015

WARKAH SAYU “AYAH TUA‘’

Surat Ini ditulis oleh seorang bapa yang menamakan dirinya sebagai “ Ayah Tua” saja bagi menyatakan perasaannya yang selama ini terpendam jauh di sudut hatinya.Menurut beliau,bukanlah tujuannya untuk memohon simpati dari sesiapa atau merayu kepada anak-anaknya yang pada masa ini sudah hidup aman bahagia di samping keluarga masing-masing… .. Beliau merasa sangat bersyukur keran telah memberikannya kesempatan untuk menunaikan tanggungjawabnya sebagai seorang bapa bagi membesarkan anak-anaknya dengan cukup sempurna sehingga masing-masing boleh berdikari dan dapat hidup sebagai manusia sejati.Tujuan beliau menulis surat ini menurutnya hanya sekadar memenuhi masa terluang yang banyak terdapat di tempat beliau berada sekarang.Mari kita ikuti luahan rasa beliau sepenuhnya…..
 
Anak-anakku,
Ayah sudah tua sekarang.Kesihatan ayah tidak lagi menentu.Adakalanya ayah merasa tidak berselera hendak makan, pening kepala atau seram sejuk seluruh tubuh..Tenaga yang ada pada ayah sudah terlalu merosot sehingga kadang-kadang ayah hanya mampu menarik kain selimut saja untuk menutup tubuh ayah yang kering ini dengan tulang serangka yang kelihatan. Ayah bersyukur berada disini kerana beberapa sebab. Pertama ayah merasa amat di hargai kerana ayah dilayan sebagai manusia yang mempunyai perasaan seperti orang lain.Bukan saja makanan dan pakaian ayah diambil tahu dengan cukup sempurna, malah mereka juga selalu bertanya sama ada ayah sudah mandi atau pun belum. Mereka cukup mengambil berat jika ayah mendapat sakit walaupun sedikit. Kedua, di tempat ini ayah tidak pernah merasa kesunyian lagi. Ramai orang yang siap sedia berkongsi pengalaman dan mengenang kembali nostalgia yang pernah kami masing-masing lalui ketika muda-muda dulu. Sambil menonton TV, kami sering berbual mesra dengan hilai ketawa yang berpanjangan. Ayah bersyukur kepada Allah kerana menggerakkan hati kamu berdua menghantarkan ayah ke sini. Tindakan kamu membuat keputusan begini sungguh ayah kagumi dan tidak pernah terlintas langsung dalam pemikiran ayah sebelum ini. Ayah harap dengan tindakan kamu ini memudah dan menyenangkan kehidupan kamu berdua untuk mendapatkan kebahagiaan rumah tangga dengan cucu-cucu ayah yang disayangi. Kamu berdua tidak perlu lagi mengambil tahu hal ayah disini kerana apa yang ayah kehendaki semuanya sudah disediakan dengan lengkap. Gunakanlah wang yang kamu dapati hasil titik peluh kamu sendiri itu untuk membiayai isteri dan anak-anak kamu supaya mereka dapat hidup sempurna sebagaimana yang pernah ayah lakukan terhadap kamu berdua.Ayah merasa cukup senang bila mengetahui kamu berdua sudah mempunyai rumah sendiri, berpendapatan tetap dan sudah pun mempunyai isteri setia di samping kamu berserta anak-anak ( Yakni cucu ayah ) yang sedang membesar setiap hari.
 
Anak-anakku,
Ayah menulis surat ini bukan tujuan untuk mengungkitkan kembali apa yang telah ayah lakukan terhadap kamu berdua semasa kecil dulu. Ayah anggap itu semua adalah tanggungjawab ayah sebagi seorang bapa terhadap anak-anaknya. Biarlah ayah mengenangkan kembali detik-detik susah payah ayah menyara hidup kamu berdua bekerja sebagai seorang nelayan yang bergantung hidup sepenuhnya pada lautan. Pada masa itu kebanyakkan masa ayah habiskan di tengah-tengah lautan luas dengan panas terik di waktu siang dan sejuk menggigil di waktu malam. Ayah tidak hiraukan itu semua kerana ayah sentiasa memikirkan kamu berdua dan ibumu yang sentiasa menunggu kepulangan ayah membawa hasil tangkapan. Adakalanya ayah pulang dengan riang gembira kerana memperolehi hasil yang agak lumayan, tetapi biasanya ayah hanya pualng dengan hampa sehingga kadang-kadang tangan kosong saja. Ayah merasa sungguh gembira bila Berjaya menghantar kamu berdua ke sekolah. Ayah berazam di dalam hati akan terus berusaha membiayai persekolahan kamu sehingga kamu berdua mendapat kejayaan cermerlang. Alhamdulillah nampaknya usaha jerih payah ayah itu tidak sia-sia kerana walaupun ada kalanya ayah terpaksa berhutang, namun kamu berdua akhirnya Berjaya juga menghabiskan persekolahan walaupun tidak setinggi mana. Ayah dan ibumu kadang-kadang terpaksa memerah otak untuk mendapatkan wang apabila kamu berdua memerlukannya untuk membeli buku-buku atau pun membayar yuran sekolah. Ada kalanya kami terpaksa berhutang dengan jiran-jiran atau mengambil wang pendahuluan dari peraih dengan janji-janji bahawa hutang itu akan dipotong apabila ayah Berjaya membawa pulang ikan dari laut nanti. Walaupun sering kali hasil tangkapan ayah tidak Berjaya melunaskan hutang tersebut,namun ayah tidak pernah gelabah atau merasa kesal. Sebaliknya ayah merasa cukup terhibur apabila melihat kamu berdua pulang dari sekolah.Ibumu siap sedia dengan hidangan yang termampu dan kita berempat sentiasa menghadapi makanan penuh rasa gembira dengan hilai ketawa yang tidak berhenti. Itulah kebahagiaan ayah. Itulah kesenangan ayah dan itulah juga harapan ayah. Ayah merasa kebahagiaan sudah dapat dicapai apabila anak-anak ayah dapat menikmati hidup dengan sempurna dan dapat pula merasa sebagaimana yang dinikmati oleh orang lain walaupun tidak cukup sempurna. Kamu berdua tentu tidak pernah tahu bahawa setiap malam apabila masuk tidur, kami selalu menghabiskan sebahagian malam dengan berbincang dari mana kami hendak mendapatkan wang bukan saja untuk keperluan makanan, pakaian, atau lain-lain perbelanjaan rumah, malah kami juga tidak pernah lupa membincangkan keperluan persekolahan kamu. Pernah beberapa malam kami tidak tidur walaupun sedetik kerana mengalami jalan buntu dari mana hendak mendapatkan wang. Ibumu tidak ada walau Seurat ‘’ janggut udang’’ sekali pun barang kemas untuk digadai dan ayah pula tidak berani lagi hendak mengorek lubang baru berhutang kerana banyak lubang lama masih belum ditimbus lagi !
Esoknya ayah turun ke laut dengan harapan tinggi menggunung semoga Allah memberikan rezeki yang mencukupi bagi menghadapi kebuntuan yang sering kali melanda kehidupan kita.Ada kalanya ayah berjaya, tetapi seringkali pula ayah pulang dengan hampa. Sejak kamu berdua bekerja dan mempunyai pendapatan tetap, ayah dan ibumu merasa sungguh bersyukur kepada Allah. Walaupun kamu tidak pernah menghulurkan wang walau sedikit pun kepada kami, tetapi ayah tidak pernah merasa kesal dan meminta. Ayah tidak mengharapkan itu semua kerana ayah percaya tugas ayah sebagai bapa telah dapat disempurnakan dengan jayanya. Apa lagi kebahagiaan seorang ayah dan ibu selain daripada melihat anak-anak mereka Berjaya? Kamu berdua kemudiannya Selamat mendirikan rumah tangga dengan gadis pilihan masing-masing dan sejak itu ayah dan ibumu sentiasa berdoa kepada Allah agar rumahtangga kamu berdua akan mendapat kebahagiaan sejati.Apabila ibumu meninggal dunia tidak lama selepas itu ayah merasa dunia ini gelap gelita kerana orang yang selama ini menjadi teman setia ayah yang sedia bersusah payah bersama ayah telah pergi dulu meninggalkan ayah terkapai-kapai seorang diri. Ayah merasa orang yang menjadi “Belahan Hati” ayah telah hilang lenyap secara tiba-tiba. Ayah meras terlalu kesunyian dan menganggap tidak guna lagi ayah hidup dalam keadaan begini. Walaubagaimanapun hati ayah terhibur juga apabila mengenangkan bahawa ayah masih lagi mempunyai dua orang anak lelaki yang kini sudah pun mempunyai keluarga sendiri. Ayah tidak pernah mengharapkan budi ayah itu dibalas dan ayah tidak bergantung harap kepada kamu berdua untuk menanggung ayah pula kerana itu semua bukan tujuan setiap ibubapa yang membesarkan anak-anak mereka. Sungguhpun ayah tinggal seorang diri saja tanpa ibumu di rumah kita yang nampaknya semakin using, namun ayah tidak pernah merasa bimbang. Apabila kamu berdua jarang-jarang sekali pulang ke rumah melihat ayah yang keseorangan ini, ayah tetap berpendapat bahawa kamu berdua mungkin terlalu sibuk dengan urusan masing-masing sehingga tidak ada masa terluang untuk mengunjungi ayah. Oleh itu apabila ayah mendapat sakit, sekali sekala ayah hanya menanggungnya sendiri secara susah payah. Ternyata sejak ibumu sudah tiada, kesihatan ayah semakin merosot sekali dan tidak berdaya lagi untuk ayah turun ke laut seperti biasa. Oleh itu, ada kalanya ayah mengambil keputusan berpuasa saja apabila mendapati tidak ada lagi barang-barang yang boleh dimasak untuk dijadikan makanan. Ayah tidak pernah menceritakan ini semua kepada kamu kerana ayah tidak mahu kamu berdua bersusah hati dan menjadi satu bebanan pula. Apabila pada suatu hari kira-kira 3 bulan yang lalu tiba-tiba Lan ( anak sulung ) pulang ke rumah ayah dengan sebuah kereta, ayah merasa cukup gembira kerana sudah hampir satu tahun kamu berdua tidak pulang melihat ayah. Lan dengan ringkas menyuruh ayah siap berkemas dengan apa-apa yang perlu kerana katanya ayah akan dibawa berpindah ke tempat lain. Hati ayah melonjak kegembiraan kerana percaya ayah akan dibawa tinggal bersama dengan cucu-cucu ayah yang disayangi. Tapi apakah yang sebenarnya berlaku ? Ayah dibawa ke suatu tempat yang pada pintu gerbangnya bertulis “ RUMAH KENANGAN WARGA EMAS” . Walaupun ayah tidak pernah menduga perkara begini akan berlaku pada diri ayah, namun akhirnya ayah percaya sepenuhnya pada takdir Allah. Mungkin nasib ayah sudah tersurat bahawa ayah akan menghabiskan penghujung hayat ayah di rumah ini jauh dari anak cucu yang dikasihi.
 
Anak-anakku Lan dan Li ,
Ayah berterima kasih banyak-banyak kerana kamu berdua telah mengambil keputusan menghantar ayah ke rumah ini. Dengan tindakan begini ayah percaya tentu masaalah kamu berdua akan dapat diselesaikan dengan baik. Kamu tidak perlu lagi mengambil tahu urusan ayah dan ianya tidak lagi menjadi beban yang kamu tanggung. Ayah doakan supaya kamu dapat memelihara anak-anak kamu dengan baik dan berharap mereka pula nanti tidak akan berbuat begini kepada kamu. Ayah akhiri surat ini dengan kata-kata yang pernah ayah dengar dari seorang kawan :-
“ SEORANG IBU ATAU AYAH AKAN MENJAGA 10 ORANG ANAKNYA DENGAN SEMPURNA : TETAPI 10 ORANG ANAK BELUM TENTU AKAN DAPAT BERBUAT DEMIKIAN KEPADA SEORANG AYAH ATAU IBUNYA …………..” .
Wallahu’alam.

MEDAL OF HONOR TO ALL MY FOLLOWERS. PLACE IT TO YOUR BLOG.TQ FOR YOUR SUPPORT.

WSB

PENAFIAN / DENIAL

B'jue Corner tidak bertanggungjawab terhadap sebarang kehilangan atau kerosakan yang dialami kerana menggunakan kandungan di dalam blog ini.

B'jue Corner irresponsible on any loss or damage undergone because use content in this blog.

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...