Perasaan
sunyi dan sayu merupakan sindrom paling kerap menimpa manusia yang
kosong hatinya daripada mengingati Allah. Kesunyian ini bermaksud hati
terasa kosong dan wujud perasaan sepi sehingga boleh membawa kepada
penderitaan, kepiluan serta kesedihan. Usahkan diri mereka yang
mengalaminya, orang yang melihat juga akan berasa kesedihan tersebut.
Apabila seseorang itu berasa
sunyi sekalipun terdapat ramai orang di sampingnya, maka itu adalah
tanda pertama bahawa dia sudah sampai waktu untuk berkahwin. Kawan yang
ramai bergelak ketawa tetapi jenaka dan lelucon itu tetap tidak dapat
mengubat kekosongan di hati. Ini lantaran wujud ruangan vakum yang
perlu diisi oleh seseorang yang dipanggil sebagai 'buah hati'. Apabila
didatangi perasaan sunyi yang pelik ini, maka ketahuilah bahawa
perkahwinan itu sudah diwajibkan bagi mencegah kejadian dan penyakit
lebih berat.
Rasulullah bersabda:
"Sesungguhnya
syaitan itu bersama seorang dan menjauh apabila berdua." - Hadith
sahih riwayat Ahmad, an-Nasa'i, at-Tirmizi, Ibn Hibban dan lain-lain.
Apabila
berseorangan, manusia itu mudah terdedah kepada pelbagai godaan,
pemikiran tidak tangkas, akal lemah dan mudah terperangkap oleh tipu
daya syaitan. Maka ketika itu, berkahwin sudah menjadi wajib bagi
menyelamatkan kehidupan. Ini kerana syaitan sentiasa mendorong manusia
untuk berbuat mungkar sehingga mereka terjerumus ke dalam jurang
maksiat.
2. Kehidupan yang tidak terurus.
Kehidupan sepatutnya menjadi
medan untuk beramal soleh dan menunaikan kewajipan serta perintah
ALLAH dengan mengikuti lunas-lunas Islam. Kehidupan memberi kita satu
peluang mengumpul sebanyak mungkin pahala bagi mendapatkan ganjaran
syurga. Malangnya, bagi sesetengah orang, kehidupan mereka tidak
terurus. Ia boleh dilihat ketika menziarahi rumah mereka. Keadaannya
bersepah, tidak kemas, makan serta pakai mereka tidak teratur sehingga
mengundang pelbagai masalah sampingan. Justeru orang seperti ini perlu
dikahwinkan.Perkahwinanlah yang akan menjadikan mereka lebih
bertanggungjawab serta berkeyakinan untuk menjalani kehidupan dengan
lebih baik dan juga bersistematik.
Abu Hurairah meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W. bersabda:
"Sebaik-baik
wanita yang menunggang unta salah satunya ialah wanita Quraisy yang
solehah dan yang keduanya ialah wanita Quraisy yang berbuat baik kepada
anak yatim yang masih kecil dan mengurus sendiri keperluan suaminya." -
Hadith sahih riwayat Muslim no. 4589.
3. Jiwa menjurus kepada lawan jantina
Pernahkah terjadi perasaan
berdebar-debar dan jantung berdegup laju tatkala berada berhampiran
dengan lawan jantina? Sekiranya 'ya' dan jika keadaan sudah menjadi
parah, jangankan sesekali duduk berdekatan, cukuplah kalau hanya
sekadar melihat wanita cantik atau lelaki kacak melintas di hadapan
mata.
Rasulullah S.A.W. bersabda:
"Maka
sesiapa yang fitrahnya diarahkan kepada sunnahku, maka dia telah
mendapat petunjuk. Sesiapa yang fitrahnya terarah kepada selainnya,
maka dia telah binasa." - Hadith riwayat Ahmad dan Ibn Hibban.
"Katakanlah kepada orang mukmin (lelaki) agar
mereka menundukkan pandangan dan menjaga kemaluan mereka. Demikian
adalah lebih suci bagi mereka. Sesungguhnya ALLAH Maha Mengetahui apa
yang mereka kerjakan. Dan katakanlah kepada wanita mukminah agar mereka
menundukkan pandangan dan menjaga kemaluan mereka..." - Surah an-Nur:
30-31
Rasulullah S.A.W. bersabda di dalam sebuah hadith qudsi yang menerangkan bahawa pandangan itu seperti panah beracun.
"Pandangan
itu adalah panah beracun di antara panah iblis. Sesiapa yang
meninggalkannya kerana takut kepadaKU, maka akan AKU gantikan dengan
keimanan, yang ia dapatkan manisnya di dalam hatinya." - Hadith riwayat
at-Tabrani dan al-Hakim.
Jika
hati atau jantung berdebar-debar sewaktu memandang lawan jantina, maka
sudah pasti mereka ini termasuk di dalam golongan yang diwajibkan
berkahwin.
ALLAH berfirman:
"Dan
antara tanda-tanda yang membuktikan kekuasaan-Nya dan Rahmat-Nya:
bahawa DIA menciptakan untukmu (lelaki) isteri-isteri daripada jenismu
sendiri supaya kamu bersenang hati dan hidup mesra dengannya dan
dijadikan antara kamu (suami isteri) kasih sayang dan belas kasihan,
sesungguhnya yang demikian itu mengandungi keterangan-keterangan yang
menimbulkan kesedaran bagi orang yang berfikir." - Surah ar-Rum: 21
4. Hilang fokus apabila wujud lawan jantina.
Hilang fokus atau lemah
tumpuan adalah perkara normal yang berlaku kepada kebanyakan orang
bujang. Keadaan ini berlaku kerana mereka kerap memikirkan berkisar
tentang soal pasangan, masa depan yang tidak pasti dan persepsi
daripada banyak pihak. Akibatnya, ia memberi kesan kepada tugas harian
seperti mereka mudah hilang tumpuan, prestasi kerja merosot serta hasil
produktiviti menurun. Mereka yang mengalami gejala hilang fokus atau
lemah tumpuan ini adalah berpunca daripada faktor psikologi serta
perasaan tidak stabil. Umumnya, penyakit ini disebabkan oleh kesunyian
dan kekurangan cinta serta belaian kasih sayang. Jalan selamat dan ubat
yang paling mujarab kepada masalah ini ialah dengan berkahwin.
"Dan
orang yang beriman, lelaki dan perempuan, setengahnya menjadi penolong
bagi setengahnya yang lain; mereka menyuruh berbuat kebaikan dan
melarang daripada berbuat kejahatan; dan mereka mendirikan sembahyang
dan memberi zakat, serta taat kepada ALLAH dan Rasul-Nya; mereka itu
akan diberi rahmat oleh ALLAH; sesungguhnya ALLAH Maha Kuasa lagi Maha
Bijaksana. ALLAH menjanjikan orang yang beriman, lelaki dan perempuan,
(akan beroleh) syurga-syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai;
mereka kekal di dalamnya dan beroleh tempat-tempat yang baik di dalam
Syurga 'Adn serta keredhaan daripada ALLAH yang lebih besar
kemuliaannya; (balasan) yang demikian itulah kejayaan yang besar." -
Surah at-Taubah: 71-72
5. Cemburu melihat kebahagiaan orang lain.
Perasaan cemburu atau ghirah
di dalam Islam terbahagi kepada dua bahagian. Pertama ialah
padabahagian yang halal dan diperintahkan iaitu cemburu di dalam
perkara kebaikan. Kedua ialah kepada perkara haram serta
dilarang iaitu cemburu yang melampaui batas dan merosakkan. Cemburu
yang melampaui batas ini disebut hasad. Perasaan hasad ini mampu
menghapuskan kebaikan yang ada pada diri mereka, sebagaimana api
membakar kayu kering. Inilah yang dinyatakan oleh Rasulullah S.A.W. di
dalam sabdanya:
"Jauhkanlah
(oleh kamu) dengki (hasad) kerana ia akan memakan kebaikan sebagaimana
api membakar kayu." - Hadith riwayat Abu Daud.
Di dalam hadith yang lain, ada disebutkan:
"Janganlah
saling hasad dan jangan mencari-cari kesalahan orang lain dan
janganlah saling bermusuhan. Hendaklah saling memaafkan dan jadilah
kamu bersaudara." - Hadith riwayat Muslim.
Berusaha
menunaikan kewajipan perkahwinan jika sudah wujud perasaan cemburu dan
tertekan apabila melihat kebahagiaan orang lain. Terutamanya ketika
melihat kawan-kawan di sekeliling sudah pun mempunyai pasangan. Cemburu
melihat orang lain berpasangan adalah isyarat bahaya bahawa
perkahwinan itu perlu disegerakan. Ketahuilah bahawa perkahwinan itu
sememangnya indah sehingga wajar untuk kita berasa cemburu.
6. Wujud perasaan sayang terhadap kanak-kanak.
Ini berlaku kepada mereka
yang sudah sampai seru untuk berumah tangga. Apabila perasaan keibuan
atau kebapaan tumbuh di dalam sanubari, ia akan mula memainkan peranan
dengan menguasai diri dan mempengaruhi segala tindak tanduk. Ini
menunjukkan bahawa seseorang yang sudah sampai waktu untuk memiliki
keluarga sendiri. Inilah fitrah yang sudah ditetapkan oleh ALLAH.
ALLAH berfirman:
"Dijadikan
indah pada (pandangan) manusia kecintaan kepada apa-apa yang diingini
iaitu wanita-wanita, anak-anak, harta yang banyak daripada jenis emas,
perak, kuda pilihan, binatang-binatang ternak dan sawah ladang. Itulah
kesenangan hidup di dunia dan di sisi ALLAHlah tempat kembali yang baik
(syurga)." - Surah ali-Imran : 14
Ketika
memegang kanak-kanak atau bayi, terasa berat untuk kita melepaskannya.
Apabila berada berhampiran mereka, naluri keibuan atau kebapaan itu
seolah-olah mendorong kita untuk merangkul, bermain, mengusik dan
membelai manja serta menikmati penuh gembira senyuman yang suci bersih
itu. Itulah petanda bahawa sudah tiba masanya kita bergelar ibu dan
bapa.
7. Jatuh cinta pada seseorang.
Jatuh cinta merupakan fitrah
setiap manusia, begitu juga dengan perasaan minat dan suka. Ia adalah
sesuatu yang tidak dapat dielakkan kerana ALLAH telah mencipta manusia
dengan fitrah sedemikian. Lelaki dijadikan untuk tertarik kepada wanita
dan begitulah juga sebaliknya. Maka,tarikan ini adalah fitrah di mana
ALLAH telah menyediakan jalan keluar yang paling sempurna iaitu dengan
berkahwin secara sah. Perkahwinan merupakan sebaik-baik jalan
perhubungan di antara lelaki dan wanita.
Ibn al-Qayyim berkata bahawa ia
adalah 'Ketetapan ALLAH dengan hikmah-Nya menciptakan makhluk dalam
keadaan saling mencari yang sesuai dengannya. Secara fitrah saling
tertarik dengan jenisnya. Tetapi akan menjauh daripada yang berbeza
dengannya.' Inilah ketetapan ALLAH kepada semua makhluk-Nya.
ALLAH berfirman:
"DIAlah
yang menciptakan kamu daripada diri yang satu dan daripadanya, DIA
menciptakan isterinya, agar dia merasa senang kepadanya..." - Surah
al-A'raf: 189
8. Desakan hawa nafsu
Ini selalu terjadi kepada
lelaki dan wanita yang baru mencapai usia remaja. Sekiranya terdedah
kepada lawan jantina, mereka akan cepat tergoda dan teruja. Bahkan,
golongan dewasa yang mencapai usia pertengahan juga kerap kali
mempunyai desakan ini. Hal ini disebabkan oleh banyak faktor dan
perkara ini perlulah diambil berat. Mereka mesti berhati-hati di dalam
mengendalikan hawa nafsu tersebut kerana ia boleh mengundang pelbagai
masalah dan bahaya. Jalan paling selamat bagi menangani desakan nafsu
ini ialah melalui perkahwinan. Melaluinya, desakan tersebut dapat
dilangsaikan menurut tatacara Islam.
Hadith ini memiliki syahid
yang diriwayatkan oleh Abu Zubair. Daripada Jabir, bahawa Rasulullah
S.A.W. melihat seorang wanita lalu wujud keinginan di dalam hati
baginda. Lalu baginda mendatangi Zainab yang sedang membuat roti dan
lantas melaksanakan hajatnya. Setelah selesai, baginda keluar dan
bersabda:
"Sesungguhnya
seorang wanita menghadap dengan bentuk syaitan dan mundur dengan
bentuk syaitan juga. Jika ada di antara kalian melihat seorang wanita,
lalu berasa ghairah, maka datangilah isterinya (salurkan kepadanya).
Sebab hal itu dapat menolak penyakit yang ada dalam hatinya." - Hadith
riwayat Imam Muslim, Abu Daud, al-Baihaqi dan Ahmad. Matan ini milik
Ahmad daripada beberapa jalur yang berasal dari Abu Zubair.
Maksud
'wanita sebagai menghadap dengan bentuk syaitan' bukan menunjukkan
satu penghinaan atau penindasan. Makna paling tepat ialah wanita itu
dipergunakan oleh syaitan dengan menghiasi mereka sehingga kelihatan
cantik di mata lelaki yang memandang. Hakikatnya, wanita itu biasa
sahaja. Hal itu berlaku kerana syaitan menghiasi mata dengan penipuan
dan godaan.
9. Beronani.
Onani atau melancap ialah
perbuatan mengeluarkan air mani bukan melalui hubungan intim atau
persetubuhan. Beronani adalah satu perbuatan yang dipandang sebagai
dosa besar di sisi Islam.Demikian, menurut majoriti para fuqaha. Imam
Syafi'e dan Imam Malik juga mengharamkan perbuatan sedemikian. Ini
berdasarkan firman ALLAH S.W.T. di dalam al-Quran:
"Dan
mereka yang menjaga kehormatannya (dalam hubungan seksual) kecuali
kepada isteri atau hamba sahayanya, maka sesungguhnya mereka tidaklah
tercela. Barang siapa yang mengingini selain yang demikian, maka mereka
adalah orang yang melampaui batas." - Surah al-Mukminun: 5-7
"Hendaklah kamu berpuasa kerana puasa itu dapat mengawal." - Hadith
riwayat al-Bukhari no. 5063, Muslim no. 3389, an-Nasa'i dan Ahmad.
Hadith
tersebut jelas menunjukkan bahawa puasa berperanan untuk mencegah
nafsu syahwat, bukannya merawat. Rawatan mujarab bagi penyakit ini
hanyalah melalui perkahwinan.
10. Dorongan untuk melakukan hubungan intim.
Seseorang itu wajib
berkahwin jika telah wujud di dalam jiwanya desakan untuk melakukan
hubungan intim. Lelaki yang memiliki desakan nafsu yang kuat dibenarkan
untuk berkahwin sehingga empat orang isteri pada satu masa. Ketentuan
ini diperkuat lagi dengan ayat al-Quran.
ALLAH berfirman:
"...Kahwinilah
wanita-wanita (lain) yang kamu senangi: dua, tiga atau empat.
Kemudian, jika kamu takut tidak akan dapat berlaku adil maka
(kahwinilah) seorang sahaja..." - Surah an-Nisa' : 3.
Itulah
hikmah ALLAH memberi keizinan untuk berpoligami kepada suami yang
memiliki kekuatan dan kemampuan yang ditetapkan oleh-Nya. Memiliki
nafsu syahwat yang kuat bukanlah satu kesalahan. Sebaliknya, ia adalah
kebaikan jika disalurkan pada jalan yang halal dan benar. Justeru,
lelaki haruslah lebih bijak dalam menangani kemampuan ini.