Khamis, 17 Jun 2010

Pastikan Kesahihan Hadith Tentang Rejab

Oleh: Dr. Yusuf al-Qaradhawi
Soalan:
Banyak kami dengari dari khatib Jumaat - terutama pada awal bulan Rejab - hadith-hadith yang mereka riwayatkan tentang pahala yang besar yang dijanjikan oleh Allah bagi orang yang hanya berpuasa sehari di dalam bulan Rejab. Antara hadith ini ialah: "Rejab bulan Allah, manakala Sya'ban adalah bulanku dan Ramadhan adalah bulan umatku." Apakah pandangan tuan dengan hadith-hadith sebegini? Apakah hadith-hadith ini sahih? Apakah pula hukum sesiapa yang meriwayatkan hadith palsu yang dinisbahkan kepada Nabi S.A.W. kepada orang ramai?
Jawapan:
Tidak ada satu hadith yang sahih tentang kelebihan bulan Rejab sesuatupun, melainkan bulan Rejab itu adalah termasuk di dalam bulan yang haram (yang dimuliakan) yang disebut oleh Allah S.W.T. di dalam kitabnya: "Antaranya ada 4 bulan yang haram (dimuliakan)."(al-Taubah:36) iaitulah bulan Rejab, Zul Qaedah, Zul Hijjah dan al-Muharram, dan inilah bulan-bulan yang dimuliakan.Tidak terdapat satu hadith yang sahih yang mengkhususkan bulan Rejab dengan sesuatu kelebihan, melainkan hadith Hasan yang menyebut Nabi S.A.W. banyak berpuasa dalam bulan Sya'ban, apabila ditanya tentang tindakan Nabi itu, dinyatakan: "Kerana Sya'ban itu bulan yang dilalaikan oleh kebanyakan manusia yang berada di antara Rejab dan Ramadhan."Dari hadith ini (sebahagian orang) memahami bulan Rejab juga ada kelebihan. Adapun tentang hadith: "Rejab bulan Allah, Sya'ban bulan-ku dan Ramadhan bulan Umatku."Ianya adalah satu hadith yang dusta dan sangat lemah, bahkan kebanyakan ulama mengatakan hadith ini palsu ...  iaitu ianya suatu yang didustai (atas nama Nabi S.A.W.), hadith ini tidak ada nilai dari sudut ilmu dan agama. Demikianlah juga hadith-hadith lain yang diriwayatkan tentang kelebihan bulan Rejab kononnya sesiapa solat sedemikian, maka baginya sedemikian pahala, sesiapa yang beristighfar sedemikian, baginya sedemikian pahala ... semua ini berlebih-lebihan, dan semuanya adalah dusta. Antara tanda kedustaan hadith-hadith seumpama ini, apabila ianya mengandungi unsur berlebih-lebihan dan gembar-gembur para ulama berkata:
Maksudnya: "Sesungguhnya janji dengan pahala yang sangat besar atas perkara yang kecil, ataupun ancaman dengan azab yang keras atas dosa yang kecil, menunjukkan hadith tersebut adalah palsu. "Sebagai contoh lain apa yang didakwa dari perkataan Nabi S.A.W.: "Satu suapan kepada orang yang lapar lebih baik dari membina 1000 buah masjid. "Hadith ini mengandungi kepalsuan dalam teksnya sendiri, kerana ia termasuk dalam perkara yang tidak dapat diterima oleh akal, satu suapan untuk orang yang lapar, pahalanya lebih besar dari pahala yang diperolehi dari membina 1000 buah masjid. Maka hadith yang ada dalam bab kelebihan bulan Rejab adalah termasuk di dalam jenis seperti ini. Ke atas ulama wajib memberi perhatian dari hadith-hadith seumapama ini yang palsu dan dusta dan memberi peringatan kepada orang ramai dari hadith-hadith seumapama ini. Nabi S.A.W. telah bersabda: (Maskudnya):  "Sesiapa yang meriwayatkan satu hadith yang dia lihat hadith tersebut adalah palsu, maka dia termasuk salah seorang dari kalangan pendusta."(Hadith ini diriwayatkan oleh Imam Muslim di Muwaddiman Sahihnya). Akan tetapi kadang-kadang seseorang tidak mengetahui hadith yang diriwayatkannya itu adalah hadith yang palsu. Oleh kerana itu ia dia mesti mengetahui, dan mengenal pasti dari sumber-sumbernya...terdapat banyak kitab-kitab hadith yang dibuat rujukan, ada kitab-kitab yang khas yang memberitahukan tentang hadith-hadith lemah dan palsu seperti al-Maqasid al-Hasanah "oleh al-Sakhawi, kitab Tamyiz al-Toyyib min al-Khabith lima haduru ala alsinah al-Nas minal hadith oleh Ibn al-Diba ', kitab Kasful khafa ' wa al-Ilbas fima isytahara min al-Ahadith 'ala alsinati al-Nas oleh al-'Ajluni...dan banyak lagi kitab-kitab lain yang sepatutnya diketahui oleh para khatib dan memahaminya, agar mereka tidak mengambil satu hadith melainkan hadith itu dipercayai kesahihannya. Sesungguhnya termasuk dalam kemerbahayaan yang berlaku di dalam masyarakat kita ialah hadith-hadith yang palsu dan yang direka yang bercampuraduk di dalam khutbah, buku-buku dan percakapan manusia, hakikatnya ianya adalah hadith yang palsu dan yang direka.Oleh kerana itu kita perlu membersih dan menyucikan masyarakat kita daripada hadith-hadith seperti ini. Sesungguhnya Allah mentaufikkan para ulama yang menjelaskan kepada orang ramai perkara-perkara yang asas dari yang direka, yang tertolak dari yang diterima. Dan kita hendaklah mengambil manfaat dari usaha mereka dan mengikut ilmu yang telah mereka terangkan.
Wallahu a'lam
KEPALSUAN HADIS REJAB
Dengan nama Allah yang Maha Pemurah dan Maha Penyayang. Seluruh pujian hanya kepada Allah semata. Salam sejahtera kepada Nabi dan ahli keluarga beliau.
Setiap amalan dalam Islam mesti berdasarkan kepada sumber yang sahih sahaja iaitu al-Quran dan sunnah Nabi yang asli. Umat tidak dibenarkan mengambil sebarang hadis palsu dalam urusan agama. Sebaiknya umat dapat mengenali hadis palsu mengenai amalan bulan Rejab. Bahawasanya bulan Rejab itu adalah bulan yang agung yang diberikan gandaan kebajikan-kebajikan padanya. Siapa berpuasa sehari daripada bulan Rejab maka seakan-akan dia berpuasa setahun. Siapa berpuasa tujuh hari dari bulan Rejab ditutup padanya tujuh buah pintu neraka jahanam. Siapa berpuasa lapan hari dari bulan Rejab nescaya dibuka padanya lapan buah pintu syurga. Barang siapa berpuasa sepuluh hari dari bulan Rejab itu maka dia tidak meminta sesuatu pada Allah melainkan diberikan padanya. Siapa berpuasa bulan Rejab itu selama lima belas hari nescaya berseru suara daripada langit, sesungguhnya engkau telah pun memperoleh keampunan atas dosa yang telah lalu, maka memulakan amal kamu. Pada bulan Rejab Allah membawa Nuh dalam bahtera. Nuh berpuasa dan menyuruh orang-orang yang bersama-sama beliau dalam kapal supaya berpuasa kerana bersyukur kepada Allah. Bahtera belayar selama enam bulan lalu berlabuh atas bukit al-Judi pada hari 'Ashura' . Pada bulan Rejab itu Allah menerima taubat  Adam dan juga taubat penduduk bandar Yunus. Padanya lautan terbelah untuk Musa dan padanya diperanakkan Ibrahim dan Isa . (Idris: 523)
Siapa menghayati satu malam dari bulan Rejab itu dan berpuasa sehari nescaya Allah memberi dia makan daripada buah-buahan syurga, memakaikan dia dengan pakaian-pakaian dari syurga serta memberi dia minum dari arak yang terpilih yang dilak tempatnya, kecuali orang yang melaksanakan tiga perkara, orang yang membunuh jiwa, atau dia mendengar orang yang meminta tolong pada waktu malam ataupun siang hari akan tetapi dia tidak menolong orang tersebut atau orang yang saudara dia mengadukan sesuatu kehendak padanya tetapi dia tidak melapangkan kehendak itu. (Idris: 524)
Rasul Allah telah berkhutbah kepada kami sekali Jumaat sebelum Rejab, dan beliau bersabda, wahai manusia, sesungguhnya kamu telah diberikan perlindungan oleh satu bulan yang agung, bulan Allah yang pekak, padanya diberikan gandaan kebajikan, padanya terkabul permohonan-permohonan dan padanya hilang segala kesusahan, dan juga tidak ditolak satu pun permohonan orang mukmin. Maka siapa yang berbuat kebajikan pada bulan tersebut akan diberikan gandaan padanya beberapa kali ganda dan Allah akan menggandakan pahala kepada sesiapa yang Dia menginginkan. Oleh itu, hendak kamu mendirikan solat pada malam dan berpuasa pada siang. Maka siapa yang bersolat pada satu hari dari bulan Rejab lima puluh rakaat, dia membaca pada tiap-tiap rakaat apa yang mudah untuk dia dari al-Quran maka Allah mengurniakan dia kebajikan-kebajikan sebanyak bilangan genap dan bilangan ganjil, dan sebanyak bilangan rambut dan bulu. Siapa berpuasa sehari maka Allah akan menulis buat dia dengan puasa itu sebanyak pahala puasa setahun. Siapa yang menjaga lidah pada bulan Rejab pasti Allah mengajarkan hujah semasa pertanyaan Munkar dan Nakir. Sesiapa bersedekah dengan satu sedekah padanya maka itu menjadi pembebasan dia dari neraka. Sesiapa menghubungkan perhubungan pada bulan Rejab pasti Allah menghubungkan dia di dunia dan akhirat dan membantu dia ke atas musuh-musuh semasa dia hidup. Sesiapa melawat seseorang yang sakit pada bulan Rejab maka Allah akan memerintahkan pada malaikat Kiram supaya menziarahi dia dan memberi salam padanya. Siapa yang bersolat ke atas satu jenazah pada bulan Rejab seakan-akan dia menghidupkan seorang kanak-kanak perempuan yang ditanamkan hidup-hidup. Siapa memberi makan seorang mukmin dengan satu makanan pada bulan Rejab Allah meletakkan dia pada hari kiamat atas satu hidangan bersama Ibrahim dan Muhammad. Siapa memberikan satu minuman air pada bulan Rejab maka Allah memberi dia minum dari arak yang terpilih dan yang dilak tempatnya. Sesiapa memberikan satu pakaian kepada seorang mukmin maka Allah memakaikan dia dengan seribu pakaian dari pakaian-pakaian syurga. Siapa memuliakan seorang anak yatim dan mengangkat tangan atas kepala (mengusap rambutnya) maka Allah memberi dia keampunan sebanyak bilangan rambut yang disentuh oleh tangan dia. Sesiapa beristighfar kepada Allah sekali pada bulan Rejab nescaya Allah memberikan keampunan. Siapa melakukan tasbih sekali padanya ataupun dia bertahlil sekali tahlil nescaya dia dicatat di sisi Allah dari golongan orang lelaki dan perempuan yang banyak mengingati Allah. Sesiapa yang mengkhatamkan sekali khatam al-Quran pada bulan Rejab, dia dan bapa dia masing-masing akan dipakaikan dengan sebuah mahkota yang bertatahkan mutiara dan al-marjan dan dia terselamat dari kejutan hari kiamat. (Idris: 536)
Semua hadis di atas adalah hadis palsu mengenai bulan Rejab yang dinyatakan oleh para ulama hadis. Jikalau dilihat pada hadis tersebut akan kelihatan betapa banyak maklumat yang bertentangan dengan fikiran manusia yang waras di mana ganjaran yang ditawarkan sangat berlebihan berbanding dengan amalan yang dibuat. Adapun perkara sedemikian adalah tidak munasabah dan tidak mudah diterima oleh akal yang sihat. Sesungguhnya Islam mengharamkan merujuk kepada hadis palsu dalam apa jua bentuk ibadat kerana ia hanya mencemarkan kesucian Islam. Allah yang Maha Mengetahui. Dengan harapan penulisan ini bisa memberikan manfaat.
Wallahu a'lam.

Sumber: Idris, Abdul Ghani Azmi, Himpunan Hadis Dha'if Dan Maudhu', jilid 1, (Kuala Lumpur, al-Hidayah: 2006).

Tiada ulasan:

MEDAL OF HONOR TO ALL MY FOLLOWERS. PLACE IT TO YOUR BLOG.TQ FOR YOUR SUPPORT.

WSB

PENAFIAN / DENIAL

B'jue Corner tidak bertanggungjawab terhadap sebarang kehilangan atau kerosakan yang dialami kerana menggunakan kandungan di dalam blog ini.

B'jue Corner irresponsible on any loss or damage undergone because use content in this blog.

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...