Toyota Corolla merupakan satu nama yang tidak perlu
diperkenalkan lagi. Inilah model Toyota yang paling laris dengan jualan
melebihi 43 juta unit di seluruh dunia. Sekali gus menewaskan model
paling laris terdahulu iaitu Volkswagen Beetle.
Diperkenalkan sejak tahun 1966, Corolla kini sudah memasuki generasi
kesebelas. Untuk makluman anda, nama Corolla diambil daripada model
Toyota Crown kerana Corolla bermaksud “mahkota bunga-bungaan” dalam
bahasa Latin.
Menariknya bukan hanya Corolla, tetapi kebanyakan model
Toyota bermula dengan huruf ‘C’ seperti Celica, Carina, Corsa dan Camry.
Majoriti model terawal Corolla menggunakan pacuan roda belakang sebelum
diubah ke pacuan roda hadapan.
Generasi Pertama (E10/1966-1970)
Corolla generasi pertama diperkenalkan pada Oktober 1966 dengan
menggunakan enjin 1100cc. Dua tahun kemudian Toyota Sprinter dikeluarkan
dan dijual secara eksklusif melalui rangkaian pengedar Toyota di Jepun
yang dikenali sebagai Toyota Auto Store. Pesaing terdekat Corolla waktu
itu ialah Nissan Sunny (Datsun) dengan enjin berkapasiti 1000cc. Corolla
mengatasi jualan Sunny dalam masa setahun dengan kelebihan 100cc.
Generasi Kedua (E20/1970-1974)
Corolla E20 dihasilkan dengan bentuk badan yang lebih sporty. Varian
enjin bersesaran 1,400 dan 1600cc juga ditambah kepada pilihan sedia
ada. Nama Corolla dan Sprinter digunakan untuk membezakan kedua-dua
model itu dari segi kemasan luaran dan dalamannya. Sementara Corolla
Levin dan Sprinter Trueno pula diperkenalkan sebagai model berprestasi
tinggi sebaik sahaja enjin baru dengan DOHC diperkenalkan pada Mac 1972
(TE27).
Generasi Ketiga (E30, E40, E50, E60/1974-1979)
Corolla baru yang lebih besar dan berat diperkenalkan pada tahun
1974. Ia turut diperkenalkan dengan versi lifback dua pintu. E50 ialah
Corolla yang dinaik taraf daripada E30. Manakala E60 pula ialah model
Sprinter yang dinaik taraf daripada E40.
Generasi Keempat (E70/1979-1983)
Rekaan terbaru Corolla generasi keempat menyaksikan model Corolla
yang lebih bersegi. Rekaan hadapan dan belakang kelihatan cukup
bersahaja dan kurang kompleks. Enjin siri A telah diperkenalkan bagi
menggantikan enjin siri K dan T. Sistem pancitan bahan api turut
diperkenalkan sebagai pilihan untuk pasaran Jepun.
Generasi Kelima (E80/1983-1987)
Inilah Toyota LE yang cukup terkenal di Malaysia. Ia merupakan antara
kereta termoden pada zamannya dengan bonet hadapan yang menurun ke
depan dan but belakang yang tinggi. Sistem pancitan bahan api juga
ditawarkan sebagai pilihan pada model E 80 ini.
Kebanyakan model pada ketika itu menggunakan sistem pacuan hadapan
kecuali AE85 dan AE86 yang masih menggunakan pacuan roda belakang (FR).
Kod cesi AE 85 dan AE86 turut digunakan oleh Sprinter (termasuklah
Sprinter Trueno yang sudah menjadi lagenda). Sprinter hampir menyerupai
Toyota kecuali beberapa perbezaan kecil seperti lampu hadapan jenis
pop-up.
Generasi Keenam (E90/1987-1991)
Model ini kelihatan lebih aerodinamik dan selesa dipandu berbanding
Corolla terdahulu. Masih menggunakan pacuan hadapan, tetapi ada juga
beberapa model yang menggunakan sistem 4WD All-Trac. Enjin yang
ditawarkan pula bermula daripada enjin 2E 1.3-liter sehinggalah enjin
4A-GZE dengan kuasa maksimum 165hp.
Generasi Ketujuh (E100/1991-1995))
Diperkenalkan pada Jun 1991, E100 ataupun dikenali dengan nama Toyota
Corolla SEG di Malaysia merupakan Corolla yang paling besar dan berat
berbanding model-model sebelumnya.
Versi coupe AE101 Corolla Levin turut diperkenalkan, tetapi bukan
untuk pasaran Malaysia. Semua enjin dibekalkan dengan sistem pancitan
bahan api elektronik.
Generasi Kelapan (E110/1995-2000)
Generasi kelapan kelihatan sedikit kecil dari segi saiz berbanding
generasi terdahulu dan nampak lebih moden. Pada tahun 1998, buat pertama
kalinya Corolla baru ini dilengkapi enjin baharu, 1ZZ-FE yang
menggunakan blok dan kepala selinder aluminium. Ini menjadikannya lebih
ringan berbanding E100.
Generasi Kesembilan (E120, E130/2000-2006)
Diperkenalkan pada tahun 2000 dengan saiz yang lebih besar. Ia
perkenalkan di negara Asia lain dan dikenali dengan nama Corolla Altis.
Terdapat juga versi station wagon untuk pasaran Jepun dan dinamakan
Corolla Fielder. Inilah wajah baru Corolla yang jauh lebih moden
berbanding model sebelumnya.
Mempunyai banyak pilihan enjin daripada sekecil 1.4-liter sehingga
2.0-liter. Ia juga merupakan antara model Toyota yang paling popular.
Generasi Kesepuluh (E140, E150/2006-2013)
Diperkenalkan di Jepun dengan nama Corolla Axio. Negara lain termasuk
Asia masih mengenalinya dengan nama Corolla Altis. Mempunyai pilihan
enjin paling banyak dari sekecil 1.3-liter sehinggalah 2.4-liter
termasuk enjin diesel D-4D. Urban road.
Generasi Kesebelas (E160, E170/ 2013-Kini)
E160 merupakan Corolla generasi kesebelas untuk pasaran Jepun.
Sementara E170 pula ialah untuk pasaran antarabangsa. E170 kelihatan
lebih futuristik berbanding E160.
Pilihan enjin dikurangkan, tetapi pilihan transmisi bertambah dari
5-kelajuan manual sehingga 7-kelajuan automatik Super CVT-i (terdapat
juga versi CVT-i 8-kelajuan untuk pasaran China). Toyota juga menekankan
penjimatan bahan api yang optima untuk Corolla ini.
Untuk pasaran Malaysia, tiga varian Corolla Altis diperkenalkan iaitu
1.8E, 2.0G dan 2.0V. Kesemua varian dilengkapi transmisi CVT 7-kelajuan
sports dengan tukaran sequential.
Kelahiran Corolla lima puluh tahun dahulu bertitik tolak daripada
pemikiran inovatif, teknologi dan kemampuan membuat keputusan yang
terbaik daripada pihak pengurusan Toyota.
Semua faktor tersebut menyumbang kepada perkembangan DNA Corolla yang
telah diwarisi dari generasi ke generasi di Toyota Motor Corporation.
Kini, dengan produksi keseluruhan melebihi 40 juta unit dan dipasarkan
di lebih 150 negara di seluruh dunia, Toyota Corolla diakui sebagai “The
World’s Most Popular Car”.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan