♥ Memberi lonjakan tenaga
Kehamilan boleh mengurangkan tenaga anda, terutamanya dalam trimester pertama dan ketiga. Senaman yang kerap seperti berjalan laju boleh membantu anda merasa sihat dan dapat membuat tugasan seharian dengan lebih bertenaga.
♥ Senaman menguatkan jantung dan paru-paru, dengan itu anda tidak mudah merasa letih. Dengan otot-otot yang kuat, anda perlukan kurang tenaga untuk membuat banyak perkara, samada pergi membeli barang keperluan rumah ataupun duduk bermesyuarat di tempat kerja.
♥ Menyiapkan diri untuk bersalin
Perkara ini mudah sahaja: jika anda lebih sihat dan cergas, anda lebih kuat dan bertenaga untuk mengharungi proses bersalin. Proses bersalin seumpama larian marathon. Ia memerlukan stamina, kecekalan dan fokus. Mengekalkan kecergasan semasa hamil adalah persiapan yang baik untuk menghadapi tugas berat yang menanti di hadapan anda.
♥ Rutin senaman yang tidak memberi tekanan seperti berjalan atau aerobik berimpak rendah boleh membantu memendekkan jangka waktu sakit bersalin dan memastikan kelahiran bayi berjalan dengan lancar.
♥ Mengurangkan masalah berkaitan kehamilan
Senaman dapat meregangkan dan menguatkan otot-otot anda, dan ini membantu badan anda menangani sakit-sakit dan lenguh yang disebabkan oleh kehamilan. Senaman regangan dapat mengurangkan sakit belakang, berjalan dapat memperbaiki peredaran darah, dan berenang boleh menguatkan otot-otot perut anda. Berenang juga baik untuk mengurangkan ketidakselesaan yang anda rasa apabila kandungan anda semakin sarat.
♥ Mengurangkan risiko penyakit-penyakit tertentu
Bersenam semasa hamil dapat membantu mengurangkan risiko menghidap pra-eklampsia, jika anda diketahui mempunyai risiko mendapat masalah tersebut. Mengekalkan kecergasan juga boleh membantu mengelakkan kencing manis semasa hamil. Anda tidak perlu membuat senaman formal. Berjalan laju dan menaiki tangga juga sudah cukup.
♥ Mengelakkan kemurungan semasa hamil
Kehamilan merupakan satu tempoh persiapan yang cukup lama untuk menghadapi peristiwa besar dalam hidup anda, iaitu kelahiran bayi. Setelah tamat keseronokan memberitahu rakan-rakan tentang kehamilan anda, kini hanya perlu menunggu. Dan menunggu. Menjelang trimester ketiga, anda mungkin mula merasa letih dan rimas. Anda mungkin tidak berminat untuk keluar dengan rakan-rakan seperti selalu kerana anda rasa sangat berat dan letih. Anda juga mungkin dilanda kebosanan dan sebahagian diri anda yang asal sudah tiada.
♥ Wanita yang bersenam semasa hamil lebih berkemungkinan mempunyai sikap yang positif berbanding mereka yang tidak bersenam. Jadi, cubalah satu aktiviti baru ketika anda hamil ini. Dengan mengikuti kelas akuanatal, yoga untuk wanita hamil atau pilates, anda dapat berjumpa dengan bakal-bakal ibu yang lain di samping mengekalkan kesihatan. Semaklah kalendar senang-hati kehamilan kami untuk mendapatkan lebih banyak tip tentang bagaimana untuk kekal positif.
♥ Membantu anda tidur dengan lebih baik
Apabila anda hamil, mendapatkan posisi yang selesa untuk tidur pada waktu malam boleh menjadi satu cabaran besar. Senaman dapat membantu anda melepaskan tenaga yang berlebihan dalam badan anda dan membuatkan anda cukup letih supaya anda dapat tidur dengan lebih lena.
♥ Memperbaiki imej diri
Walaupun anda tahu pertambahan berat ini adalah sesuatu yang baik, anda mungkin akan terkejut melihat betapa banyak pertambahan berat yang akan anda alami. Cuba anggap fasa dalam kehidupan anda ini sebagai satu fasa di mana anda boleh merasa bangga dengan bentuk badan anda yang hamil ini. Kekal aktif boleh membantu anda merasa lebih baik mengenai perubahan yang berlaku.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan