Khamis, 9 Mac 2017

URAL – Motosikal Zaman Perang Dunia Kedua

Nama Ural mungkin agak asing bagi kita di Malaysia tetapi motosikal tiga roda ini mempunyai sejarah dan pengaruh yang cukup panjang sejak dari zaman Perang Dunia Kedua.
Ia bermula bila pihak Soviet Union memperolehi rekaan dan teknik pembuatan motosikal BMW R71 pada tahun 1940. Motosikal Ural pertama yang dinamakan M-72 telah berjaya dihasilkan pada tahun 1941.
Army troops on Ural motorcycles
Pada asalnya kilang Ural terletak di Moscow, Leningrad dan Kharkov tetapi kemudiannya telah dipindahkan ke Irbit dan Gorky untuk mengelak kemaraan pihak Jerman sewaktu peperangan.
Sejarah syarikat Ural ini bermula sejak dari Perang Dunia Kedua di mana pihak Soviet memerlukan kenderaan khusus untuk mobiliti ketenteraan khususnya untuk bersaing dengan pihak Jerman. Pemimpin Soviet ketika itu, Joseph Stalin mengarahkan pihak tentera untuk bersedia untuk mempertahankan Soviet Union dari serangan darat tentera Jerman.
Satu mesyuarat telah diadakan oleh Kementerian Pertahanan Soviet dan mereka memutuskan motosikal adalah kenderaan yang paling sesuai untuk kegunaan Tentera Merah itu. Pihak Tentera Merah mahukan sebuah motosikal yang moden sesuai dengan kegunaan mereka. Ini kerana motosikal yang sedia ada tidak memuaskan hati pihak tentera.
Mereka telah memilih motosikal BMW dengan sidecar yang dinamakan R71 sebagai model untuk motosikal baru mereka. Lima unit motosikal tersebut telah dibeli secara sulit sebelum dibawa masuk ke Soviet untuk ditiru oleh para jurutera mereka.

Ia dileraikan dan dijadikan acuan untuk projek motosikal baru Tentera Merah sebelum prototaipnya ditunjukkan kepada Stalin. Beliau bersetuju dengan rekaan tersebut dan proses pengeluarannya segera dimulakan. Sebuah model asal yang dibeli secara sulit itu masih ada sehingga ke hari ini dan dipamerkan di muzium Ural di Rusia.
URAL ADALAH SYARIKAT GLC
Perusahaan Ural di Russia masa kini dimiliki sepenuhnya oleh pemerintah dan jika ada pegawai kerajaan yang ingin memiliki motosikal, mereka mesti membeli motosikal Ural (nasib baik Malaysia tidak membuat peraturan yang sama, mesti beli motosikal Modenas).
Keterbukaan dasar kerajaan juga telah membolehkan Ural menggunakan komponen-komponen motosikal yang diimport dari luar negara.
Kini motosikal Ural telah dimodenkan dengan gabungan pelbagai alat ganti dari seluruh dunia. Sebagai contoh ia kini dilengkapi dengan enjin empat lejang 750cc dengan teknologi suntikan bahan api, gear empat-kelajuan dengan tambahan gear mengundur, penyerap hentak moden dan brek cakera pada ketiga-tiga roda.

Rekaan luarannya bagaimanapun masih dikekalkan dengan imej tahun 40-an yang cukup klasik. Bahagian badan dan luaran termasuklah rim bagaimanapun masih dihasilkan menggunakan logam besi yang kukuh. Tidak ada aksesori yang dihasilkan menggunakan plastik murah pada motosikal ini.
Sama seperti pengeluar motosikal lain, Ural kini menggunakan khidmat pembekal luar untuk menghasilkan komponen motosikal mereka. Mereka mendapatkan alternator dari syarikat Nippon-Denso, brek dari Brembo, sistem penghidup dari Ducati Energia dan banyak lagi syarikat lain.
Hanya bahagian kerangka, enjin dan bahagian badan dihasilkan sendiri. Ia masih kelihatan seperti replika Ural tahun 1940 yang lengkap dengan meter kelajuan analog.

Di Rusia, kebanyakan jalan-jalan desa mempunyai kualiti yang kurang baik dan motosikal Ural sangat tahan lasak merupakan satu keperluan buat penduduk luar bandar. Tetapi kini, motosikal Ural mula dieksport ke serata dunia seperti Australia, Eropah, Asia Barat, Amerika Selatan dan banyak lagi. Di Asia ia juga telah memasuki pasaran Indonesia.
Hubungan yang baik antara pemerintah Indonesia khususnya Presiden Jokowi dan Presiden Rusia Vladimir Putin membolehkan Ural terjual di Indonesia. Sehingga hari ini dikhabarkan lebih daripada 20 unit motosikal Ural telah terjual di negara jiran itu. Ia dipasarkan menerusi PT Hobby Motor Indonesia. Model paling laris dinamakan Gear Up dan berharga RP 425 juta.

Motosikal Ural bukannya dihasilkan untuk peminat kelajuan tetapi lebih kepada peminat motosikal sejati yang menghargai nilai sejarah dan sentimental yang ada pada sebuah motosikal.
Jika motosikal keluaran Jepun telah menjajah kita dari segi ekonomi, Ural pula pernah menguasai dunia dalam peperangan yang sebenar. Ia meletakkan namanya sebaris dengan wira-wira perang dunia seperti kereta kebal Panzer dan U-Boat Jerman, Jip Willy’s Amerika dan pesawat pejuang Mitsubishi Zero dari Jepun.

Tiada ulasan:

MEDAL OF HONOR TO ALL MY FOLLOWERS. PLACE IT TO YOUR BLOG.TQ FOR YOUR SUPPORT.

WSB

PENAFIAN / DENIAL

B'jue Corner tidak bertanggungjawab terhadap sebarang kehilangan atau kerosakan yang dialami kerana menggunakan kandungan di dalam blog ini.

B'jue Corner irresponsible on any loss or damage undergone because use content in this blog.

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...