Bagaimana Mahu Menjadikan Urusan Kahwin Itu Mudah? | Apabial menyentuh soal perkahwinan, ramai golongan yang dikira layak untuk berkahwin seperti merasakan ia agak sukar untuk dilaksanakan. Mungkin terpaksa berhadapan dengan masalah wang hantaran yang semakin meningkat tinggi. Ataupun masih lagi menganggap belum lagi bersedia melangkah ke alam rumah tangga. Banyak kisah yang diriwayatkan oleh para sahabat tentang perkahwinan ini.
Pada suatu ketika seorang perempuan datang berjumpa Nabi Muhammad SAW seraya berkata: “Wahai Rasulullah! Aku telah datang untuk menyerahkan diriku kepadamu. Lalu Nabi SAW memandang kepadanya sambil mendongak kepadanya dan memerhatikan dengan teliti kemudian Baginda mengangguk-anggukkan kepalanya.
Apabila perempuan itu mendapati Nabi Muhammad SAW diam tanpa memberi keputusan, perempuan itu segera duduk, lalu bangunlah seorang sahabat dan berkata: “Wahai Rasulullah! Sekiranya kamu tidak ingin mengahwininya, maka kahwinkanlah aku dengannya.”
Mas kahwin
Nabi SAW segera bertanya: “Adakah engkau memiliki sesuatu yang boleh dijadikan mas kahwin. Sahabat menjawab: Tidak ada! Nabi SAW bersabda: Pulanglah menemui keluargamu mencari sesuatu yang boleh dijadikan mas kahwin.”
Lantas sahabat itu pulang, kemudian beliau kembali menemui Nabi SAW dan berkata: “Demi Allah! Aku tidak menjumpai apa-apa pun yang boleh dijadikan mas kahwin. Maka Nabi SAW bersabda lagi: Carilah walaupun sebentuk cincin besi.”
Lalu sahabat itu pulang dan datang kembali serta berkata: “Wahai Rasulullah! Demi Allah aku tidak menjumpai apa-apa walaupun sebentuk cincin besi tetapi aku hanya memiliki kainku ini iaitu kain yang hanya boleh menutupi bahagian bawah badannya.” (Sahabat ini tidak mempunyai pakaian yang menutup bahagian atas badan).
Nabi SAW bersabda: “Apa yang engkau boleh buat dengan kain engkau itu, sekiranya engkau memakai kain itu. Perempuan itu tidak dapat memakainya walaupun sedikit. Apabila dia memakai kain itu engkau tidak mempunyai apa-apa untuk dipakai.”
Sahabat itu duduk sehinggalah sekian lama kemudian bangun. Nabi SAW memandang kepadanya seterusnya dia beredar dari situ. Setelah itu Baginda SAW memerintahkan supaya dia dipanggil.
Apabila sahabat itu sampai, Nabi SAW bertanya: “Apakah yang engkau miliki daripada al-Quran?”
Perkahwinan adalah suatu ibadat dan sunnah Rasulullah SAW yang juga penyelesaian terbaik terhadap tuntutan fitrah manusia di samping mengatasi masalah sosial dalam masyarakat. Orang yang berkahwin dapat mengatur kehidupan yang baik, sempurna dan penuh bertanggungjawab.
Firman Allah SWT bermaksud: “Antara tanda kekuasaan-Nya ialah Dia (Allah) menciptakan pasangan (jodoh) bagi kamu daripada (makhluk) jenis kamu sendiri, agar kamu cenderung kepadanya dan merasa tenteram dengannya. Kemudian Allah menciptakan rasa kasih sayang di antara kamu. Sesungguhnya dalam hal itu terdapat tanda-tanda kekuasaan-Nya bagi orang yang berfikir.” (Surah al-Rum, ayat 21)
Perbanyakkan puasa sunat jika tak mampu berkahwin
Islam menggalakkan umatnya yang tidak mempunyai kemampuan berkahwin memperbanyakkan puasa sunat sebagai cara mengawal nafsu.
Sabda Nabi SAW: “Wahai golongan pemuda! Sesiapa daripada kalangan kamu yang mempunyai kemampuan, maka nikahlah. Sesungguhnya dengan pernikahan itu akan menundukkan pandangan dan menjaga kemaluan. Sesiapa yang tidak mampu maka berpuasalah kerana ia mampu mengekang/mengawal syahwat.” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).
Pada dasarnya, hukum perkahwinan yang ditetapkan Islam adalah wajib kepada mereka yang berkemampuan dan mempunyai nafsu yang kuat sehingga boleh menjerumuskan ke lembah maksiat.
Menurut pandangan Imam al-Nawawi dan Imam al-Shafie, golongan pemuda yang sudah baligh dan belum mencapai usia 30 tahun, kebiasaannya mempunyai nafsu yang tinggi, semangat yang kuat, tenaga yang berlebihan dan ingin mencuba pelbagai perkara.
Maka sewajarnya, mereka yang berusia sebegini diberi perhatian agar segera dan dipermudahkan urusan perkahwinan bagi mengelak perkara yang tidak elok dan seharusnya diingati bahawa dasar hukum perkahwinan yang ditetapkan Islam adalah tidak membebankan kepada sesiapa pun.
Sumber
Tiada ulasan:
Catat Ulasan