Pertunangan bermaksud perjanjian yang dibuat oleh pasangan untuk melangsungkan perkahwinan.
Ia adalah satu sunnah yang dituntut dalam Islam sebagaimana yang
dilakukan oleh Rasulullah SAW kepada isteri baginda Aisyah Binti Abu
Bakar dan Hafsah Binti Umar. Dengan berlangsungnya ikatan pertunangan
tersebut, maka tergalaslah sebuah komitmen yang tidak rasmi pada diri
seorang lelaki dan wanita yang belum berkahwin untuk mengenal hati budi
masing-masing.
Islam membenarkan pertunangan sebagai cara untuk pasangan yang ingin berkahwin mengenali bakal isteri dan suami termasuklah ahli keluarga mereka sama ada
dari segi fizikal dan mentaliti. Jadi sudah tidak hairan lagi pada kita
jika ramai pasangan yang bercinta pada hari ini melangsungkan
pertunangan sebelum mereka berganjak ke gerbang perkahwinan. Tapi
silapnya pada masa kini, fitrah pertunangan ini sudah menjadi fitnah.
Konsep Pertunangan
Menurut konsep pertunangan dalam Islam
yang sebenarnya, sesebuah pasangan perlu bertunang terlebih dahulu
sebelum berkenalan dengan lebih rapat dengan pilihan hati mereka. Ia
tidak lain adalah untuk menjaga kesucian sebuah perhubungan agar
diredhai oleh Allah. Namun, yang berlaku pada hari ini adalah
sebaliknya. Selepas berkenalan dengan pasangan masing-masing dan berpuas
hati dengan sikap, perangai dan tingkah laku barulah mereka mengikat
tali pertunangan. Ia sekadar menjadi petanda seseorang itu sudah
mempunyai pemilik.
Bertunang tiada bezanya dengan bercinta. Ramai yang tersalah tafsir dengan adanya ikatan pertunangan, maka mereka mempunyai lesen
untuk berdua-duaan, berpegang-pegangan dan melakukan pelbagai aktiviti
bersama. Sememangnya dalam tempoh bertunang pasangan dibenarkan untuk
mengenali dengan lebih mendalam tentang diri pasangan dan pada waktu
inilah mereka perlu memanfaatkan masa yang ada untuk berkenalan tetapi
kita perlu ingat, jangan sampai ia melanggar syariat yang digariskan
oleh Islam.
Jauhi Perkara Zina
Kebanyakan umat Islam hari ini
menganggap penzinaan itu adalah semata-mata melakukan persetubuhan
haram. Sebenarnya, bukan perbuatan zina itu sahaja yang dilarang keras
tetapi kelakuan dan tindak tanduk yang mendorong berlakunya perbuatan
tersebut. Maksud perkataaan zina itu luas yang mana meliputi semua aspek
perlakuan. Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud, “Zina kedua-dua mata
itu memandang perempuan yang ajnabi, zina kedua-dua telinga itu
mendengar, zina kedua-dua tangan itu menyentuh, zina kedua-dua kaki itu
melangkah dan zina hati itu mengingini dan menangan-angankannya.” (Hadis
Riwayat Bukhari & Muslim)
Jelaslah kepada kita semua perlakuan
dalam perhubungan antara lelaki dan perempuan yang sudah akil baligh dan
bukan mahram termasuklah yang sudah bertunang atau tidak, melainkan
yang sudah berkahwin adalah dikira zina. Ia adalah perkara-perkara yang
membuka peluang dan menimbulkan dorongan sekali gus memberi laluan mudah
kepada pasangan bertunang untuk melakukan permulaan zina. Ini kerana,
mereka telah meletakkan diri mereka berdua-duaan di suatu tempat dan
seterusnya mendorong melakukan kemuncak kepada perbuatan yang terkutuk.
Apabila berdua, maka akan ada yang ketiga.
Rasulullah SAW telah bersabda,
“Janganlah seorang lelaki berdua-duaan dengan wanita, sesungguhnya yang
ketiga di antara mereka berdua adalah syaitan.” (Hadis Riwayat Imam
Ahmad).
Ramai Bersubahat
Larangan berdua-duaan dan perlakuan yang
membawa kepada perbuatan zina itu bukan sahaja ditujukan kepada
pasangan yang bertunang sahaja tetapi termasuklah orang-orang sekeliling
yang turut terbabit atau bersubahat. Ramai antara kita yang tidak sedar
bahawa mereka secara tidak langsung terlibat dengan perlakuan yang
hampir kepada zina. Contohnya dalam kalangan ibu bapa yang sengaja
membiarkan anak-anak teruna dan gadis mereka keluar berdua-duaan.
Kononnya, ibu bapa yang ‘sporting’ dan memberi kebebasan serta
kepercayaan kepada anak-anak mereka.
Kerana ceteknya ilmu agama dan
terpengaruh dengan amalan dan budaya sosial Barat yang moden dan
terkini, mereka tidak mahu dipandang kolot dan dan dilihat alim. Ramai
yang menganggap apa yang mereka lakukan itu adalah perkara biasa dan
sudah menjadi tradisi malah selari dengan zaman moden sekarang ini.
Tambahan pula, ada ibu bapa yang sengaja membiarkan anak-anak
berdua-duaan dengan tunang dan kekasih mereka kerana mengingatkan
manisnya zaman percintaan mereka semasa muda dahulu dan ingin anak-anak
mereka merasai nikmat alam percintaan sebagaimana mereka dahulu.
Bertunang Bukan Tiket Buat Maksiat
Fenomena keruntuhan akhlak yang berlaku
dalam kalangan muda mudi sekarang khususnya yang beragama Islam boleh
menyebabkan merebaknya kelahiran anak luar nikah dan sebagainya. Itu
adalah antara bukti-bukti penerimaan ibu bapa dan masyarakat sekeliling
kepada aktiviti berdua-duaan pada pasangan bertunang. Jangan biarkan
diri terhantuk baru tengadah. Sedarlah, pengaruh budaya barat dalam
bidang sosial ini harus dianggap sebagai virus berbahaya yang merosakkan
budaya Islam sekaligus meruntuhkan kekuatan umat Islam.
Oleh itu, walaupun sudah bertunang,
jangan anggap ia sebagai tiket untuk berdua-duaan dan menghalalkan
segala bentuk perhubungan sebagaimana suami isteri. Pastikan jalinan
hubungan cinta itu tidak melanggar hukum Allah dengan tidak ada
pergaulan bebas, tidak berdua-duaan, tidak mendedahkan aurat, tidak
meninggalkan solat dan sebagainya. Jangan jadikan hubungan tersebut
perkara yang melalaikan dan merugikan. Kita masih belum menjadi hak
milik pasangan kita sepenuhnya. Jagalah maruah agama, diri dan keluarga.
Jangan disebabkan racun dalam percintaan ini disangka baja dan mampu
menyuburkan hubungan yang dibina berkekalan kerana setiap apa yang
berlaku berbalik kepada ketentuan Allah.
Cinta yang suci dan terpelihara pasti
akan membawa pasangan yang sudah bertunang ke gerbang perkahwinan
sehingga kemanisannya dan kebahagiaannya tidak mampu diungkapkan dengan
kata-kata. Ketika itulah fitrah menjadi anugerah.
- Artikel iluvislam.com
Tiada ulasan:
Catat Ulasan