Ahad, 22 Julai 2018

Menjaga Adab Berziarah

Pernah suatu ketika, Nabi SAW mengunjungi rumah seorang sahabat bernama Sa’ad bin Ubadah. Setibanya di muka pintu Baginda mengucapkan salam. Sa’ad menjawab salam Baginda dari dalam tetapi dengan suara yang perlahan. Nabi tidak mendengarnya lalu memberi salam lagi sehingga tiga kali.

Apabila mendapati salamnya tidak berbalas, Baginda berpaling untuk beredar. Sa’ad segera keluar mendapatkan Baginda. Katanya,
“Wahai Rasululullah, demi Allah aku telah mendengar dan menjawab salammu. Cumanya aku menjawab dengan suara yang perlahan. Aku mahu kamu mengulangi ucapan salam sejahtera itu agar bertambah keberkatannya untukku.”

Lihatlah adab Nabi SAW bersama para Sahabat. Baginda mengunjungi rumah para Sahabat, mengetuk pintu, memberikan salam, menunggu dan beredar apabila salam tidak dijawab. Walaupun begitu tinggi kedudukan Baginda di sisi Allah, namun tidak dirasakan dirinya istimewa berbanding manusia yang lain.

Fiman Allah SWT yang bermaksud;
“Wahai orang-orang yang beriman, jangan kamu masuk rumah yang bukan rumahmu sebelum kamu meminta izin dan memberi salam kepada penghuninya.”.
(Surah an-Nur ayat 27)

Al-Hafiz Ibnu Katsir dalam tafsirnya menyebut bahawa menjadi satu budaya bagi masyarakat Arab Jahiliah apabila mengunjungi rumah seseorang, mereka akan terus masuk ke rumah dan berkata, “Aku telah datang!” Suasana ini kurang disenangi kerana ia boleh memalukan tuan rumah atau tuan rumah mungkin bersama keluarga dan tidak bersedia untuk menerima kehadiran tetamu.

Oleh itu antara adab yang dianjurkan ketika kita berziarah ialah:

1. Mengetuk pintu rumah tiga kali dengan sederhana. Boleh ditambah sekiranya yakin bahawa tuan rumah tidak mendengar ketukan tadi.
Di dalam sebuah hadis, Nabi SAW berpesan,
“Jika seorang daripada kamu meminta izin sebanyak tiga kali dan tidak diizinkan maka hendaklah dia pulang”.
(Riwayat Abu Daud)
Para Sahabat sangat berhati-hati apabila mengetuk pintu rumah Nabi SAW. Mereka akan menggunakan hujung kuku mereka kerana menjaga adab dengan Nabi.

2. Menyatakan nama sebenar.
Nabi sangat membenci orang yang tidak memperkenalkan dirinya ketika mengetuk pintu. Begitu juga orang yang memperkenalkan dirinya dengan ‘aku’. Jabir r.a. pernah datang ke rumah Nabi SAW untuk menjelaskan hutang ayahnya. Dia mengetuk pintu kemudian Nabi bertanya, “Siapa kamu?” Katanya, “aku.” Kata Nabi, “aku! aku!” Seolah-olah Baginda tidak menyukai ucapan sebegitu.

3. Tidak berada di muka pintu.
Hendaklah berada di sebelah kiri atau kanan pintu. Tujuannya apabila pintu dibuka, kita tidak akan terus melihat ke dalam ruang rumah yang terbuka sehingga ternampak perkara yang tidak sepatutnya dilihat.

4. Memberi isyarat ketika memasuki rumah sendiri.
Ini adalah amalan para Sahabat seperti Abdullah ibnu Mas’ud. Isterinya mengatakan bahawa jikalau Ibnu Mas’ud ingin masuk ke rumah, beliau akan berhenti di depan pintu dan berdehem-dehem sebelum masuk.

5. Tidak sedih jika kunjungan tidak diterima.
Bersangka baiklah kerana tidak semua orang mampu menyatakan keuzuran mereka. Boleh jadi tuan rumah tidak perasan, mungkin mereka bersama keluarga atau tidak bersedia menerima tetamu kerana keadaan rumah mereka tidak begitu sempurna.
Hayati kata-kata seorang Tabiin iaitu Qatadah bin Di’amah as-Sadusi, “Jangan berdiri di depan rumah orang yang tidak menerima ziarahmu. Mungkin kamu ada urusan dan mereka juga ada urusan. Ketahuilah, bahawa urusan mereka itu lebih utama.”
Apabila tidak diterima sebagai tetamu, contohilah akhlak ulama sufi. Ada sesetengah ulama sufi gembira dan berharap agar mereka disuruh pulang. Mereka beramal dengan sepotong ayat al-Quran dalam yang bermaksud,
“Jika seorang daripada kamu meminta izin sebanyak tiga kali dan tidak diizinkan maka hendaklah dia pulang”.
(Surah an-Nur ayat 28)
Sebenarnya mereka adalah pencinta kebaikan dan mereka mencari-cari pahala kesabaran dan keikhlasan di sebalik kalimah ‘terlebih baik’ itu.

Tiada ulasan:

MEDAL OF HONOR TO ALL MY FOLLOWERS. PLACE IT TO YOUR BLOG.TQ FOR YOUR SUPPORT.

WSB

PENAFIAN / DENIAL

B'jue Corner tidak bertanggungjawab terhadap sebarang kehilangan atau kerosakan yang dialami kerana menggunakan kandungan di dalam blog ini.

B'jue Corner irresponsible on any loss or damage undergone because use content in this blog.

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...