Ada kalanya, ketika musim peperiksaan
UPSR, PMR, SPM dan lain-lain, kedengaran bisik-bisik berkenaan soalan
bocor. Pelbagai respon daripada para pelajar dan ibubapa. Ada yang
begitu bersungguh mendapatkannya dan membuat persiapan sebelum masuk ke
dewan peperiksaan. Ada juga pelajar yang mendapat soalan-soalan
tersebut, tetapi tidak mempedulikannya, bahkan ada yang langsung tidak
berminat untuk mengambil tahu soalan-soalan tersebut. Ketika di dalam
dewan peperiksaan, ada yang bergembira kerana telah bersiap sedia dengan
jawapan dan ada yang menyesal kerana mengabaikan soalan-soalan bocor
tersebut. Kolum hadis kali ini akan membicarakan berkenaan empat soalan
di dalam kubur yang telah “dibocorkan” oleh Rasulullah s.a.w melalui
ungkapan baginda yang bermaksud
“Tidak akan berganjak kedua-dua kaki
setiap hamba (ke syurga atau neraka) pada hari akhirat nanti sehinggalah
ditanya tentang umurnya, ke mana dihabiskan. Ditanya tentang ilmunya,
apakah yang diamalkan. Ditanya tentang hartanya, bagaimana cara
memperolehi dan membelanjakannya. Dan ditanya tentang kesihatan tubuh
badannya, apa yang telah dilakukan dalam kehidupan.” ( Tarmizi ; no
2417)
Moga-moga kita mengambil perhatian dan mempersiapkan jawapan masing-masing dan berjaya lulus dengan cemerlang di akhirat nanti.
Soalan Bocor Yang Pertama
Kehidupan di dunia adalah tempoh ujian
daripada Allah swt. Apabila tiba waktunya, kematian menjelma tanpa
diperlewatkan atau dipercepatkan walaupun sesaat. Persoalan berkenaan
usia yang dianugerahkan olehNya akan ditanya kepada setiap insan lantas
masing-masing menjawab dengan jawapan yang berbeza, berdasarkan cara
tersendiri tentang bagaimana memenuhi tempoh tersebut. Ada yang pendek
usianya, tetapi menjadi sangat bernilai kerana diisi dengan penuh
ubudiyyah (penghambaan) kepada Allah swt. Ada pula yang panjang
umurnya, tetapi menjadi sebab penyesalan yang tidak berkesudahan kerana
ia dipenuhi dengan penghambaan kepada hawa nafsu semata-mata. Golongan
yang paling bergembira adalah di kalangan yang panjang usianya dan
dihiasi dengan ketaatan yang tidak berbelah bagi kepada Yang Maha Esa.
Moga kita mampu menjawab pada saat itu dengan jawapan yang tidak
menghampakan.
Soalan Bocor Yang Kedua
Soalan kedua amat menggetarkan hati
khususnya golongan yang berilmu. Apakah yang telah diamalkan daripada
ilmu yang dimiliki ? Peringatan yang amat menggerunkan di dalam firman
Allah:
“Amat besarlah kemurkaan Allah apabila kamu mengatakan sesuatu yang tidak kamu amalkan” ( surah Soff, ayat 3 )
Buah kepada ilmu dan tanda ia bermanfaat
kepada seseorang ialah apabila diamalkan. Para orientalis mempunyai
ilmu yang banyak tentang Islam, tetapi ia tidak akan menyelamatkan
mereka di akhirat kerana ia tidak diamalkan. Begitu juga para ulama’
al-suu’ (ulama’ yang jahat) yang sentiasa menggunakan agama untuk
mengejar dunia dengan memutarbelitkan hukum hakam agama demi mencari
redha ‘tuhan-tuhan’ yang bukan Tuhan. Demikianlah iblis yang mempunyai
ilmu paling hebat berkenaan syurga, kerana pernah menghuni dan merasai
nikmat di dalamnya, tetapi tidak membawa kepada amal yang membuktikan
ketaatan kepada Allah. Ada pula yang ingin mengambil jalan mudah dengan
tidak berusaha menambah ilmu, agar tidak dibebankan dengan soalan ini,
tetapi pada hakikatnya mendedahkan diri kepada bahaya yang lebih besar
iaitu sesat dalam kegelapan jahiliah. Ya Allah, berilah kekuatan kepada
kami agar sentiasa berusaha menambahkan ilmu agama dan anugerahkan kami
kemampuan untuk mengamalkannya dengan penuh ikhlas dan istiqamah.
Soalan Bocor Yang Ketiga
Soalan ketiga berkenaan harta. Ia
mempunyai dua anak soalan, iaitu bagaimana cara memperolehi dan
bagaimana cara membelanjakannya. Realiti dunia hari ini yang dikuasai
kapitalis melahirkan segolongan manusia yang tidak mempedulikan halal
dan haram di dalam mengumpul harta. Matlamatnya hanyalah wang, setiap
tindak tanduk diputuskan berdasarkan keuntungan wang, segala pengorbanan
adalah demi wang, bahkan hidup matinya seolah-olah menghambakan diri
kepada wang. Golongan ini lupa untuk merealisasikan makna doa iftitah
yang dibaca pada setiap rakaat pertama solatnya. Sepatutnya
segala-segala yang dilakukan adalah demi Allah, Tuhan sekalian alam.
Lantas suburlah budaya rasuah, pecah amanah, menipu dalam perniagaan,
lari dari hutang, mencuri, merompak dan sebagainya. Alangkah ngerinya
keadaan golongan ini apabila berada di dalam mahkamah Allah di akhirat
kelak, apakah yang bakal dijawab oleh mereka? Soalan susulan seterusnya
ialah cara membelanjakan harta yang dimiliki. Ada yang begitu cermat
memastikan hartanya benar-benar dari sumber yang bersih dan halal,
tetapi lalai ketika membelanjakannya. Tanpa disedari, ia membeli
perkara-perkara yang menjadi senjata musuh untuk merosakkan zuriatnya
sendiri lalu menempatkannya di dalam rumah yang mereka diami. Ada
kalanya, menggunakan harta yang halal, tetapi membawa ahli keluarganya
ke tempat yang melalaikan mereka dari mengingati Allah. Semua ini bakal
ditanya, persiapkanlah jawapannya !
Soalan Bocor Yang Keempat
Soalan terakhir berdasarkan hadis ini
adalah berkenaan tubuh badan dan kesihatan yang dianugerahkan oleh
Allah. Ramai yang tidak menghargai kesihatan ketika mereka sihat bahkan
jarang memuji Allah di atas nikmat ini. Tetapi apabila jatuh sakit,
secara tiba-tiba mereka menjadi orang yang sentiasa menyebut Allah dan
berazam untuk melalukan ketaatan setelah sembuh. Demikianlah sakit, satu
anugerah yang sangat baik dari Allah, tanda kasihNya kepada hambaNya.
Justeru, hargailah nikmat tubuh badan ini dengan menggunakannya
semaksima mungkin untuk melakukan pelaburan yang profitnya akan
digunakan untuk ‘shopping’ di akhirat nanti.
Tangan Dan Kaki Bercakap
Di dalam surah Yaasin, Allah menceritakan suasana di akhirat nanti di dalam firmanNya yang bermaksud:
“Pada hari ini Kami tutup mulut-mulut
mereka, dan tangan-tangan mereka akan bercakap (mengakui segala amalan
yang dilakukan di dunia) serta kaki-kaki menjadi saksi di atas apa yang
telah mereka lakukan” ( Surah Yaasin, ayat 65 )
Ketika itu, mulut yang sangat petah
berkata-kata tidak mampu memberi alasan dan melepaskan diri lagi
sebagaimana di dunia dahulu. Mulut terkunci rapat dan tugas menjawab
dipindahkan kepada seluruh anggota badan lain lalu mengakui satu persatu
amal baik dan buruk ketika di dunia dahulu tanpa tertinggal sedikitpun,
sehingga akhirnya menempatkan mereka ke destinasi terakhir sama ada di
syurga mahupun neraka.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan