Mencari kawan dan membina perkenalan tidaklah sepayah mencari sahabat dan membina persahabatan. Daripada seribu orang kawan mungkin hanya seorang yang layak dipanggil sahabat.
Siapakah sahabat? Dia sanggup berada bersama kita dalam keadaan apa sekalipun. Ketika kita masih orang kecil, dia teman ke lacesana lace ke mari; ketika kita sudah menjadi orang besar, dia tidak terhegeh-hegeh mencari peluang. Tetapi dia di situ, sedia untuk menyokong kita supaya tidak rebah. Tanpa pengetahuan kita dia sanggup berkorban membetulkan persepsi silap masyarakat terhadap kita. Dia berperanan sebagaimana kita masih orang kecil dahulu tanpa sebarang kepentingan.
Tatkala payung kita kuncup dia datang membawakan payungnya untuk kita. Lalu kita sama-sama berteduh di bawahnya. Jika payung kita kecil dan tidak muat untuk kita berdua, dia rela basah ditimpa hujan asalkan kita tidak basah sebagaimana dia.
Seorang sahabat itu sanggup memberikan apa sahaja yang kita perlukan manakala apa yang kita perlukan itu ada di tangannya. Dia tidak mengharapkan balasan tetapi jujur untuk memelihara persahabatan. Di manakah anda hendak mencari seseorang yang seperti ini? Sebab itulah mungkin seorang pun payah hendak dicari daripada seribu orang yang ada.
Seorang sahabat seperti digambarkan dalam ejaan JUMAAT; jujur, unggul, matang, asli, amanah dan teguh. Dia jujur, maka boleh diletakkan kepercayaan untuk tolong lihat-lihatkan keluarga kita tatkala kita berpergian. Dia unggul, maka kita boleh bersandar pada dia tatkala kita hilang motivasi diri. Dia matang, maka kita boleh dapatkan nasihat-nasihat berguna atau merujuk masalah-masalah semasa yang kita hadapi. Dia asli, maka peribadinya bukan ikutan atau tidak mudah luntur, tetapi selari dengan kehendaknya sebagai insan bertuhan. Dia amanah, maka ciri-ciri ini sangat diperlukan dalam persahabatan. Dia teguh, maka kita boleh bergantung padanya pada sangat-sangat getir.
Itu ciri-ciri sahabat. Tentu payah untuk mendapatkannya. Ia payah sebab kita sendiri tidak bersikap seperti itu. Kalau kita bersikap seperti itu, semua yang akan datang kepada kita adalah orang yang seperti itu. Jadi, usah harapkan orang berbuat baik kepada kita kalau kita sendiri tidak dapat melayaninya dengan lebih baik. Usah harapkan datang seseorang yang memiliki sifat-sifat jujur, unggul, matang, asli, amanah dan teguh kalau kita sendiri seorang yang curang, lemah, berfikiran singkat, mudah terpengaruh, tidak amanah dan lembek.
Persahabatan itu bermula daripada satu bentuk perkenalan. Daripada satu perkenalan yang mudah menjadi erat apabila adanya pertanyaan, saling bertanya saling mahu kenal mengenal. Dari situ lahirnya keyakinan. Meskipun kadang-kadang terpaksa memberikan seribu pengorbanan serta berjuta-juta perjuangan, ia tetap pergi kepada yang satu iaitu keikhlasan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan