Kecantikan sesuatu yang subjektif. Apapun, wanita harus menjadikan diri mereka cantik dalam segala aspek.
Jika ciri yang diperturunkan ini anda miliki, ia mungkin boleh dianggap satu pakej wanita idaman yang diingini lelaki sebagai pasangan hidup satu hari nanti.
* Keibuan. Inilah sikap sebenar wanita yang membuatkan lelaki teruja padanya. Banyak lelaki terpikat pada wanita yang bersikap keibuan, lembut, mengambil berat dan penuh kasih sayang.
Wajah keibuan sesungguhnya mampu membuat lelaki berasa tenteram ketika sedang dalam keadaan tertekan, cemas dan gelisah serta senang hati ketika mahu bermanja. Jangan tunggu sampai melahirkan anak baru hendak menonjolkan sikap keibuan. Setiap wanita ada potensi memiliki sikap keibuan dalam diri masing-masing.
* Keanak-anakan. Dalam batas yang wajar, sifat keanak-anakan seorang wanita menjadi daya tarikan di mata lelaki. Mereka rasa terhibur dengan keletah anda, tetapi tentulah bukan sifat keanak-anakan yang melampau dan menyakitkan hati sebaliknya sikap keanak-anakan yang menyenangkan.
Kemanjaan wanita boleh membangkitkan naluri kebapaan dan kelelakian, malah wanita yang ceria membuat lelaki lebih ghairah.
* Penuh pengertian. Pengertian wanita sering membuat lelaki berasa dihargai dan diterima seadanya seperti perasaan mudah memaafkan dan memilih waktu yang tepat untuk berbincang masalah.
Contohnya ketika lelaki melakukan kesilapan, wanita yang penuh pengertian tidak terus mengeluarkan kata-kata kasar atau menuduh yang bukan-bukan sebaliknya cuba mengerti duduk perkara sebenar.
* Menghargai. Wanita yang menghargai lelaki adalah wanita idaman lelaki. Berbeza dengan wanita yang suka diperlakukan dengan lembut, lelaki suka dihargai, dipuji dengan tulus ikhlas dan diberi kepercayaan. Penghargaan daripada wanita membuat lelaki berasa bangga.
* Menjaga penampilan. Lelaki menyukai wanita yang pandai menjaga penampilannya agar sentiasa kelihatan cantik, bersih, kemas dan menarik. Penampilan yang baik menunjukkan wanita itu menghargai dirinya. Dia akan murah senyuman, pandai merawat dan menjaga kesihatan tubuhnya, meningkatkan kualiti hidup serta memberi yang terbaik kepada dirinya.
Dia bersyukur dengan dirinya dan secara tidak langsung memancarkan pesona yang menyebabkan lelaki juga menyukainya. Apabila sudah berumah tangga, wanita berkenaan terus menjaga penampilan dirinya dan kesihatan tubuh badan walau sudah beranak-pinak. Siapa yang tidak suka isteri yang kelihatan cantik dan ramping walau sudah punya anak tiga?
* Pandai berbicara. Lelaki tertarik dengan wanita yang pandai berkomunikasi dan boleh diajak berbual. Walaupun topik perbualan yang disukai lelaki berbeza dengan topik kegemaran wanita, wanita berkenaan dapat mengimbanginya.
Dia bukan sekadar teman berbual yang pasif, tetapi memberi tindak balas dan pendapat yang baik. Dia juga tahu menjadi pendengar yang baik serta mengalihkan topik agak serius kepada perbualan yang lebih menarik. Lelaki juga gemar wanita yang suka bergurau dan pandai berjenaka serta boleh menerima jenaka lelaki dengan baik dan berfikiran terbuka.
* Pandai bergaul dan menyesuaikan diri. Wanita yang pandai bergaul dan menyesuaikan diri mempunyai nilai lebih di mata lelaki. Wanita tahu menghadapi orang yang lebih tua dan cara berhadapan dengan orang yang lebih muda. Apabila berhadapan dengan suasana baru, wanita itu cepat menyesuaikan diri.
* Menghormati diri sendiri. Lelaki suka wanita yang menghormati dirinya sendiri sebagai seorang wanita, bersikap sopan dan mempunyai etika. Wanita yang menghormati dirinya sendiri mempunyai keyakinan serta tahu apa yang baik dan buruk diperlakukan oleh seorang lelaki terhadap dirinya.
* Simpati dan prihatin. Lelaki suka wanita yang murah hati, mengambil berat, simpati pada nasib mereka yang susah, sayangkan kanak-kanak dan tidak memilih bulu.
Ada kecantikan dalaman pada dirinya yang memancar keluar dengan indah dan mempesona.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan