Selasa, 9 Oktober 2018

Penyakit Alasan Punca Kegagalan

Apakah punca kegagalan? Punca paling besar adalah selalu membuat alasan. Jadi, penyakit yang selalu ada dalam kalangan orang yang gagal adalah orang yang selalu beralasan untuk berjaya dan melaksanakan tugasnya.

Di kalangan mereka ini, ada yang mengharapkan bulan jatuh ke riba tanpa melakukan usaha. Angan-angan mat jenin sudah menjadi tabiat mereka. Kerja mereka hanya goyang kaki dan mengharapkan nasib semata-mata.

Tahukah anda bahawa orang yang bijak tidak menggunakan alasan yang sama yang dibuat oleh orang yang gagal walaupun mereka boleh melakukannya. Kadang-kadang, mereka juga sakit, keletihan, buntu dan tiada idea tetapi mereka tidak menjadikan perkara ini sebagai penamat atau penghalang daripada terus berusaha sebaliknya mereka menjadi lebih ghairah untuk mencari penyelesaiannya.

Suatu perkara yang lebih buruk lagi, orang yang selalu beralasan dengan sesuatu alasan, katakanlah dia selalu beralasan bahawasanya dia tidak sihat, maka sebenarnya dia telah memfokuskan dirinya dalam keadaan sakit dan tidak bermaya. Walaupun, dia tahu itu hanyalah alasan yang dibuat pada sesuatu ketika tetapi dia lupa bahawasanya perkara itu sedang berakar umbi dalam dirinya. Seluruh tubuh sedang berusaha untuk menjadikan dirinya lemah dan tidak bermaya kerana dia telah memikirkan demikian.

Hal ini telah dibuktikan dengan seorang yang menghidap penyakit kencing manis tahap normal. Beliau merasakan dirinya tidak sihat dan terlalu berhati-hati dalam semua perkara bagi mengelakkan dirinya tercedera atau terkena jangkitan. Beliau juga mengurungkan diri sendiri dalam bilik dan kurang bergaul dengan orang lain. Kesannya, tubuh badannya menjadi semakin lemah dan penyakit kencing manisnya semakin kronik.

Apakah alasan yang sering orang gagal gunakan?

1. Saya tidak sihat
Ini alasan yang paling banyak sekali digunakan. Bayangkan, kita banyak gunakan alasan ini dan hasilnya kita tidak ke kelas atau tempat kerja berhari-hari. Katakanlah dalam setahun, kita telah menggunakan alasan ini 5 kali bermakna kita telah menghabiskan diri masa kita untuk berada dalam alasan ini selama 5 hari. Dan 5 hari bermakna 5 x 24 jam = 120 jam. Lama tu! Bayangkan kalau kita gunakan masa itu untuk kita menulis, saya kira kita sudah mampu menghabiskan 2-3 bab.

Apakah sakit yang bermasalah? Tidak. Sakit tidak bermasalah tetapi yang bermasalah adalah menggunakan alasan sakit untuk duduk dan berbaring semata-mata tanpa melakukan apa-apa kerja. Anggapkan hari sakit anda seperti hari-hari biasa. Lakukan kerja harian seperti biasa dan abaikan fikiran kita daripada mengingati sakit. Jangan bercakap dengan orang lain tentang sakit dan keadaan anda kerana ianya hanyalah menambahkan lagi kesakitan dan anda lebih tidah bermaya. Syukurlah dengan apa yang anda hadapi sekarang. Berapa lama anda mengecapi nikmat kesihatan sebelum Allah berikan kesakitan? Pastinya kesakitan ini hanyalah sekejap jika dibandingkan dengan kesihatan.

2. Saya tidak cukup pandai
Ini adalah sikap orang yang terlalu merendah diri. Puncanya, anda terlalu memandang rendah terhadap keupayaan diri sendiri dan memandang tinggi keupayaan orang lain. Pandanglah diri kita sebagai insan yang luar biasa dan mempunyai kemampuan yang istimewa yang belum kita cungkilkan lagi. Cari peluang untuk mencungkil bakat yang terpendam itu.

Ingatlah bahawa ilmu bukanlah kuasa atau penyebab seseoran itu berjaya kerana ramai orang yang berilmu tetapi tersungkur di tengah jalan menuju kejayaan. Ilmu adalah potensi kuasa sahaja sebaliknya yang menjadikannya berkuasa adalah mengaplikasikan ilmu.

Selain itu, orang yang genius bukanlah orang yang berjaya di atas muka bumi ini. Kebanyakan orang yang berjaya di dunia ialah orang yang tidak sempat menghabiskan persekolahan mereka. Mereka hanyalah orang berjaya mengawal pemikiran mereka untuk berjaya.

3. Saya terlalu muda / tua
Faktor umur dalam menggapai kejayaan adalah tidak penting. Semua orang mampu berjaya. Tiada istilah terlewat dalam berjaya. Selagi mana anda ada keinginan untuk Berjaya maka anda mampu melakukannya. Just do it!

Ramai orang muda yang mengetuai organisasi yang kebanyakan ahlinya adalah orang tua. Yang penting bukan tua atau muda tetapi bagaimana anda menguruskannya dan menghargai orang lain yang lebih tua daripada anda.

Mengikut kajian, umur yang produktif adalah antara 20 tahun hingga 70 tahun. Maka, jika kita masih dalam linkungan ini, teruskanlah usaha untuk berjaya. Sebaliknya, jika sudah terkeluar dalam lingkungan ini tetapi merasa yakin mampu untuk menggapai kejayaan, maka buktikan kajian tidak benar dan anda mampu melakukannya.

4. Saya sentiasa bernasib malang
Siapakah yang tahu nasib anda? Allah sahaja yang Maha Mengetahui. Apakah kerja anda? Usaha dan tawakkal kepada Allah s.w.t. Mengharapkan nasib semata-mata adalah seperti mengharapkan bulan jatuh ke riba.

Buatlah perubahan. Pasti di sana ada sedikit kekurangan yang perlu diperbaiki. Tingkatkan diri anda kepada yang lebih baik. Banyakkan membaca dalam bidang yang diceburi serta buat sedikit kajian tentang kelebihan dan kelemahan diri sendiri dalam bidang tersebut serta kelebihan dan kekurangan pihak lain. Insya Allah, pastinya anda akan mendapat peluang yang diharapkan.

Kesimpulannya, janganlah beralasan walaupun alasan itu benar kerana ia hanyalah melemahkan diri anda. Positif dalam berfikir dan bertindak. InsyaAllah, anda pasti Berjaya. Jumpa di sana!
Ar-Razi,
Fes, Maghribi.
By: Mohd Fakurazi Bin Ghazali

Tiada ulasan:

MEDAL OF HONOR TO ALL MY FOLLOWERS. PLACE IT TO YOUR BLOG.TQ FOR YOUR SUPPORT.

WSB

PENAFIAN / DENIAL

B'jue Corner tidak bertanggungjawab terhadap sebarang kehilangan atau kerosakan yang dialami kerana menggunakan kandungan di dalam blog ini.

B'jue Corner irresponsible on any loss or damage undergone because use content in this blog.

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...