Jumaat, 3 Mei 2019

Kolonoskopi : Apa Yang Anda Perlu Tahu – Dr. Lam Yeaw Fah


colono

Apabila anda mengalami sakit perut, pendarahan dubur atau cirit birit untuk jangka masa yang lama anda akan berjumpa dengan gastro-enterologis. Anda akan disarankan menjalani kolonoskopi untuk menentukan penyebab gejala yang dihidapi. Mungkin ramai yang pernah mengalami situasi ini dan musykil jika ia benar-benar perlu untuk menjalani kolonoskopi.. Adakah ini satu prosedur yang lebih memanfaatkan doktor daripada pesakit?


Apa itu kolonoskopi?
Kolonoskopi adalah prosedur di mana kabel gentian optik yang dipasangkan kamera pada hujungnya dimasukkan ke dalam usus besar. Ini membolehkan doktor melihat keadaan dalam usus dan mengenalpasti diagnosis. Pada sesi yang sama, sebarang ujian atau prosedur lanjut yang diperlukan boleh diteruskan.

Apakah syarat-syarat mengharuskan kolonoskopi?
Terdapat pelbagai sebab mengapa pesakit perlu menjalani kolonoskopi. Di antaranya ialah perubahan pada tabiat pembuangan air besar seperti cirit birit untuk masa yang lama, sembelit, pendarahan atau lendir pada najis, sakit di abdomen dan bengkak ketara di bahagian perut. Tanda-tanda ini menunjukkan kemungkinan pesakit mengalami radang usus, ketumbuhan kecil dalam usus besar atau pun barah usus.. Oleh sebab itu, amatlah penting untuk pesakit menjalani kolonoskopi supaya diagnosis yang tepat boleh dibuat.

Apakah persiapan yang perlu dibuat sebelum menjalani kolonoskopi?
Perlu diketahui bahawa usus besar dipenuhi najis . Oleh sebab itu, pesakit perlu membersihkan usus daripada najis sebelum kabel gentian optik boleh dimasukkan untuk mendapatkan imej yang jelas dalam usus besar. Ini dinamakan sebagai persediaan usus. Pesakit diminta tidak mengambil makanan berserat seperti sayuran, daging atau makanan berasaskan protein, sehari sebelum prosedur. Makan hanya bubur, air, dan jus tanpa serat sebelum ubat pembersihan usus. Kaedah biasa untuk membersihkan usus adalah menggunakan larutan sodium phosphate (Fleet®, colclean®), larutan macrogol (Fortran®). Selepas minum larutan tersebut, pesakit akan mengalami pergerakan usus dalam 30-60 minit. Dinasihatkan supaya mengambil larutan tersebut mengikut arahan. Apabila sisa perkumuhan dalam usus telah dibersihkan dan tinggal hanyalah kandungan berair tanpa mendapan pejal barulah usus boleh menjalani kolonoskopi.

Adakah prosedur tersebut menyakitkan? Adakah saya akan merana?
Prosedur ini sesuatu yang biasa dijalankan pada masa kini berbanding 10 tahun yang lalu apabila prosedur-prosedur perubatan masih dalam peringkat awal. Dengan kemajuan alat-alat perubatan, perkembangan prosedur kolonoskopi lebih selesa dan para doktor telah mendapat latihan yang lebih baik untuk menjalankan prosedur tersebut; kadar ketidakselesaan adalah minima. Dibantu ubat pelali yang diberikan ketika prosedur, pesakit tidak akan merasakan atau mengingati apa-apa yang berlaku ketika prosedur tersebut dijalankan. Ketika permulaan, pesakit dipindahkan ke suite endoskopi di mana semua peralatan perubatan yang diperlukan disediakan. Pesakit dibaringkan atas katil endoskopi dan pemantauan tanda-tanda penting dijalankan. Ubat pelali diberikan untuk menenangkan pesakit dalam keadaan tidak sedar diri. Selepas itu barulah prosedur akan dimulakan. Setelah selesai, pesakit tidak akan mengingati apa-apa yang berlaku sepanjang prosedur.

Apakah yang akan dilakukan doktor ketika prosedur?
Kolonoskopi secara ringkasnya adalah memasukkan kabel gentian optik kedalam usus besar. Dengan bantuan lensa kamera di hujung kabel, doktor boleh melihat imej bahagian dalam usus pada skrin monitor. Penglihatan secara langsung membolehkan seluruh bahagian usus besar digambarkan.
Prosedur terbahagi kepada dua jenis :
  1. Diagnostik – prosedur di mana doktor hanya membuat penggambaran seluruh bahagian usus besar dan membuat pengenalan penyakit berdasarkan pemerhatian dalam usus besar misalnya barah usus, penyakit radang usus, kolitis dan sebagainya.
  2. Terapeutik – prosedur tambahan ketika kolonoskopi diagnostik dijalankan. Apabila ketumbuhan dijumpai dalam usus besar seperti polip kolon, doktor boleh menjalankan pembedahan kecil untuk mengeluarkan ketumbuhan tersebut ketika kolonoskopi. Ini dipanggil pembedahan buang polip atau polypectomy. Begitu juga dengan ketumbuhan dalam usus besar yang disyaki sebagai barah, pada sesi yang sama doktor akan melakukan biopsi sampel ketumbuhan tersebut dan menghantarnya untuk pemeriksaan histopatologi untuk mengesahkan barah usus besar.
Dengan prosedur terapi sedia ada, ketumbuhan awal dalam usus boleh dikenalpasti dan dibuang. Prosedur ini membolehkan pesakit mendapatkan rawatan awal untuk mengelakkan ketumbuhan tersebut berlarutan menjadi barah.

Apakah bahaya atau senario paling buruk untuk prosedur kolonoskopi?
Semua prosedur mempunyai kadar risiko tertentu berlakunya komplikasi. Kolonskopi adalah sama dan komplikasi tidak dapat dielakkan. Sekiranya kolonoskopi dijalankan oleh pakar yang berpengalaman, risikonya adalan rendah.
Komplikasi mungkin hanya rasa tidak selesa disebabkan kembung perut kerana udara terperangkap dalam usus besar, rasa sakit, dan ketidak selesaan abdomen. Ini adalah komplikasi kecil yang boleh pulih dengan sendirinya. Risiko terbesar adalah pendarahan usus besar menyusuli trauma dari prosedur, dinding usus besar luka selepas apa-apa prosedur seperti pembedahan buang polip, rasa kembung perut kerana udara terperangkap dalam usus, rasa sakit, dan ketidak selesaan abdomen. Risiko-risiko besar akan memerlukan pembedahan susulan. Kadar risiko dinding usus koyak adalah dalam 0.35%-2.30%.

Berapa kerap perlu saya jalani kolonoskopi?
Sebab-sebab perlunya kolonoskopi telah dinyatakan di atas. Selepas selesai menjalani prosedur, kebanyakan pesakit akan bertanyakan kekerapan kolonoskopi diulang. Ramai bimbang jika ketumbuhan itu akan datang semula. Kekerapan atau tempoh kolonoskopi diulang bergantung pada pemerhatian terhadapketumbuhan yang mula-mula dijumpai. Jika ketumbuhan tersebut menunjukkan perubahan malignan (displasia parah) dari laporan histopatologi, pesakit akan diminta datang semula setiap enam bulan untuk pepemiksaan susulan bagi mengetahui sama ada ketumbuhan berulang semula selepas pembedahan buang polip (polypectomy).
Jika ketumbuhan itu tidak berubah dan berisiko rendah untuk barah, skop ulangan akan dilakukan selepas satu tahun. Jika penemuan skop itu normal, pesakit dianggap normal sehingga 3 tahun jika tiada gejala baru timbul.
Prosedur kolonoskopi adalah prosedur biasa yang dijalankan di hospital. Hasil perkembangan dan kemajuan peralatan perubatan, prosedur ini kini lebih selamat dan cekap. Terdapat juga pusat diagnostik yang menawarkan khidmat ini kepada orang awam. Anda harus ingat bahawa setiap prosedur yang dijalankan ke atas pesakit mempunyai risiko-risiko tertentu. Anda perlu pilih pusat yang menawarkan khidmat tersebut yang juga berupaya mengendalikan komplikasi-komplikasi selepas kolonoskopi. Pusat-pusat ini mungkin juga lebih mahal tetapi keselamatan perlu lebih diutamakan berbanding kos.
Dr. Lam Yeaw Fah (MBBS, M. Surgery, F.MAS, Dip. MAS, Colorectal Fellowship (SMC, S. Korea)) adalah perunding pembedahan am dan pakar bedah usus besar di sebuah hospital swasta di Lembah Klang. Artikel ini diterjemahkan oleh Nur Nadhirah daripada artikel asal http://www.mmgazette.com/colonoscopy-what-you-need-to-know-dr-lam-yeaw-fah/

Tiada ulasan:

MEDAL OF HONOR TO ALL MY FOLLOWERS. PLACE IT TO YOUR BLOG.TQ FOR YOUR SUPPORT.

WSB

PENAFIAN / DENIAL

B'jue Corner tidak bertanggungjawab terhadap sebarang kehilangan atau kerosakan yang dialami kerana menggunakan kandungan di dalam blog ini.

B'jue Corner irresponsible on any loss or damage undergone because use content in this blog.

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...