Isnin, 28 Oktober 2019

Bagaimana Mahu Ikhlas?

“Iblis menjawab: “Demi kekuasaan Engkau aku akan menyesatkan mereka semuanya, 
kecuali hamba-hambaMu yang mukhlis (Ikhlas) di antara mereka.” (QS, Shaad 38 : 
82-83) 
 

“Iblis berkata: “Ya Tuhanku, oleh sebab Engkau telah memutuskan bahawa aku sesat, 
pasti aku akan menjadikan mereka memandang baik (perbuatan maksiat) di muka bumi, 
dan pasti aku akan menyesatkan mereka semuanya, kecuali hamba-hamba Engkau yang 
mukhlis (ikhlas) di antara mereka.” (QS Al-Hijr, 15 : 39-40)
 
Mengapa iblis tidak dapat menyesatkan orang-orang yang ikhlas? Kerana ketika kita 
ikhlas kerana Allah S.W.T, kita berserah apa sahaja kepada Allah S.W.T. Ketika itu 
kita tidak lagi berada di wilayah kekuatan kita tetapi di wilayah kekuatan dan 
kekuasaan Allah S.W.T. Kita mengikut dengan  jiwa yang berserah kehendak Allah 
S.W.T. Mana mungkin iblis atau syaitan dapat menandingi kekuatan Allah S.W.T. 
Orang yang ikhlas tidak memikirkan ikhlas atau tidak tetapi memikirkan 
tanggungjawab yang ditetapkan oleh Allah S.W.T itu telah dilaksanakan dengan baik 
atau belum. Itulah ikhlas dan ia hadir tanpa perlu difikirkan. 
 
Tidak penting samada orang lain ikhlas atau tidak tetapi yang sangat penting adalah
diri kita sendiri ikhlas atau tidak. Mari kita fahamkan tentang ikhlas dengan 
mengambil contoh kehidupan saya. 
 
Jika saya bekerja kerana ingin mencari wang, maka saya bekerja ikhlas kerana wang.
Jika saya bekerja kerana ingin menyara anak-anak dan isteri saya, maka saya bekerja
ikhlas kerana anak-anak dan isteri saya. 
 
Ikhlas mesti mempunyai sandaran untuk apa saya melakukan sesuatu hal itu. Jika 
sandarannya wang, maka kita dikatakan ikhlas kerana wang kerana wang  membuatkan 
kita melakukan kerja. Begitu juga dengan yang lain. 
 
Persoalannya kini, apakah kita inginkan ikhlas yang sedemikian? Tidak! Kita tidak 
mahu kerana ikhlas yang sedemikian mempunyai tahap yang rendah. Lalu ikhlas yang 
bagaimana berada di tahap yang tinggi yang dikatakan oleh iblis sehingga tidak 
mampu menyesatkan kita? 
 
Pastinya ikhlas KERANA ALLAH S.W.T. Apabila kita ikhlas kerana Allah S.W.T, pasti 
kita melakukan semua kerja kita kerana Allah S.W.T. Apabila kita ikhlas kerana 
Allah S.W.T, pasti ikhlas kita merangkumi semua termasuk kerana wang, anak-anak dan
isteri, syarikat kita bekerja dan seluruhnya. 
 
Nah! di sini terdapat satu lagi persoalan iaitu bagaimana melahirkan jiwa yang 
ikhlas? Apakah ia boleh dibuat-buat atau boleh diwujudkan? 
 
Ikhlas tidak mampu dibuat-buat tetapi dapat diwujudkan dengan kesedaran. 
Bagaimana membina kesedaran agar jiwa kita ikhlas? 
 
Kembali kepada contoh kehidupan diri saya dan kemudian saudara aturkanlah contoh 
tersebut untuk kehidupan saudara. 
 
Saya perlu SEDAR sepenuhnya tanggungjawab saya sebagai wakil Allah (khalifah) di 
muka bumi ini. Saya dijadikan oleh Allah S.W.T sebagai lelaki dan kini saya 
memiliki pelbagai tanggungjawab yang ditetapkan oleh Allah S.W.T. ke atas saya 
sebagai lelaki, suami, pekerja dan sebagainya. 
 
Sebagai suami dan ayah, saya diberi tanggungjawab memastikan keluarga saya 
dilindungi, selamat, bahagia, cukup makan minum, tempat tinggal, pendidikan dan 
sebagainya. Saya SEDAR tanggungjawab ini adalah tanggungjawab yang Allah S.W.T. 
tetapkan sebagai seorang suami. 
 
Sebagai suami dan ayah saya perlu mencari rezeki lalu saya bekerja. Bekerjanya saya
ini adalah kerana tanggungjawab saya terhadap Allah S.W.T. Ini adalah ketetapan 
yang Allah S.W.T. tentukan ke atas seorang suami iaitu wajib mencari nafkah untuk 
keluarganya. 
 
Dengan KESEDARAN segala kerja yang saya lakukan adalah kerana saya ingin mencari 
nafkah dan ia merupakan tanggungjawab yang ditetapkan oleh Allah S.W.T. pasti saya 
akan berusaha untuk melaksanakan tanggungjawab tersebut. Ini bukan satu paksaan 
tetapi kerana kesedaran saya ke atas tanggungjawab saya. Maka dengan kesedaran 
inilah saya melaksanakan tanggugjawab saya kerana Allah S.W.T. Tanpa disedari, saya
melakukannya kerana Allah S.W.T. ikhlas kerana Allah S.W.T. Begitu juga semasa 
bekerja. Tugas yang diberikan kepada saya ketika bekerja merupakan amanah dan 
tanggungjawab saya kepada Allah S.W.T. 
 
Saya perlu menyedari bahawa semua ini adalah tanggungjawab yang Allah S.W.T.
tentukan kepada saya. Lalu saya perlu melaksanakan semua tanggungjawab ini kerana 
saya ini adalah wakil Allah S.W.T. Saya perlu mengikut kehendak Allah S.W.T.,kerana
saya wakilNya. 
 
Kesedaran tanggungjawab kita kepada Allah S.W.T. memastikan kita akan melaksanakan 
segala tanggungjawab kita kerana Allah S.W.T. INILAH IKHLAS. 
 
Orang yang dekat dengan Allah S.W.T. memiliki kesedaran tertinggi akan hal Allah 
S.W.T. Mereka tidak pernah rasa kecewa di dalam melaksanakan tanggungjawab kerana 
Allah S.W.T. 
 
Apabila kita memiliki kesedaran tertinggi, kita akan melaksanakan tanggungjawab 
kita kerana Allah S.W.T. Kita tidak melakukannya kerana pangkat dan wang namun 
pangkat dan wang merupakan keperluan. Ia membantu kita di dalam urusan menjadi 
wakil Allah S.W.T. iaitu khalifah di muka bumi ini. 
 
Kita tidak salah dan tidak dilarang sama sekali untuk memiliki wang yang banyak, 
pangkat yang besar, rumah yang besar dan segala kekayaan yang ada. 
 
Namun kita juga diperintahkan agar berkongsi kekayaan tersebut dengan zakat, 
bersedekah dan sebagainya seperti yang ditetapkan oleh Allah S.W.T. di dalam 
Al-Quran dan Sunnah. 
 
Setiap kerja kita diminta untuk dimulakan dengan “Dengan nama Allah S.W.T yang Maha
Pengasih/pemurah dan Penyayang” menunjukkan bahawa kita melakukan kerja atas nama 
Allah S.W.T. 
 
Kita di minta oleh Allah S.W.T mengakui bahawa tiada tuhan selain Allah  S.W.T. dan
Nabi Muhammad S.A.W Rasul Allah S.W.T. setiap kali kita bersolat untuk mengulangi 
semula persaksian kita pada Allah S.W.T. 
 
Dengan kesedaran yang tinggi di atas tanggungjawab kita sebagai wakil Allah S.W.T. 
dalam setiap hal kecil atau besar walaupun menyampai sedikit ilmu pun, maka ia 
adalah kehendak Allah S.W.T. dan kita wakil Allah S.W.T. hanya berserah untuk 
melakukannya. Allah mengkehendaki kita menyampaikan ilmu yang kecil itu ketika itu
lalu kita sampaikan dengan penuh tanggungjawab sebagai wakil Allah S.W.T. yang 
memiliki ilmu tersebut. 
 
Tingkatkan kesedaran kita, pasti kita akan ikhlas di dalam melakukan kerja. Orang 
yang ikhlas tidak memikirkan ikhlas atau tidak tetapi memikirkan tanggungjawab yang
ditetapkan oleh Allah S.W.T itu telah dilaksanakan dengan baik atau belum. Itulah 
ikhlas dan ia hadir tanpa perlu difikirkan.
Wallahu’alam.

1 ulasan:

Cuci Tilam berkata...

Terima Kasih atas perkongsian ini, sangat memberi makna dan kefahaman berkenaan ikhlas

MEDAL OF HONOR TO ALL MY FOLLOWERS. PLACE IT TO YOUR BLOG.TQ FOR YOUR SUPPORT.

WSB

PENAFIAN / DENIAL

B'jue Corner tidak bertanggungjawab terhadap sebarang kehilangan atau kerosakan yang dialami kerana menggunakan kandungan di dalam blog ini.

B'jue Corner irresponsible on any loss or damage undergone because use content in this blog.

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...