Rabu, 18 Disember 2019

Keistimewaan Ramadan

Oleh Zuridan Mohd. Daud

Kini bulan Ramadan yang mulia kembali menjenguk kita. Inilah musim di mana amal ibadah jika dilakukan dengan penuh kekhusyukan akan mendapat ganjaran berlipat kali ganda daripada Allah SWT. Inilah juga musim di mana pintu kebaikan dibuka seluas-luasnya kepada sesiapa sahaja kerana Ramadan ialah bulan limpahan ganjaran pahala dan penuh dengan kebaikan.

Inilah bulan di mana Allah pernah menurunkan al-Quran sebagai petunjuk kepada manusia dan menjadi, juga sebagai garis pemisah antara kebenaran dan kebatilan.
Ramadan, awalnya adalah rahmat, pertengahannya adalah keampunan dan penghujungya adalah pelepasan dari azab api neraka.

Di dalam hadis Nabi s.a.w telah menyatakan kelebihan bulan ini, Abu Hurairah meriwayatkan bahawa Nabi SAW bersabda: Apabila tibanya Ramadan maka terbukalah pintu-pintu syurga serta tertutuplah pintu-pintu neraka dan syaitan-syaitan digari. (riwayat Bukhari dan Muslim)
Apa yang dimaksudkan di dalam hadis di atas dengan ‘pintu-pintu syurga dibuka’ pada bulan ini ialah kerana tawaran ganjaran yang berlipat kali ganda sebagai galakan agar meningkatkan amalan.

‘Pintu-pintu neraka pula ditutup dan syaitan digari’ adalah kerana berkurangannya maksiat di kalangan orang yang beriman di bulan ini.

Diriwayatkan daripada Abu Hurairah r.a bahawa Nabi SAW bersabda: Diberikan kepada umatku lima kelebihan yang tidak diberikan kepada umat terdahulu, (iaitu) mulut orang yang berpuasa lebih harum baunya di sisi Allah daripada bau kasturi, para Malaikat memohon keampunan untuk mereka sehingga mereka berbuka puasa, setiap hari pula Allah sentiasa menghiasi syurga dan berfirman: Sedikit masa lagi hamba-hamba-Ku yang soleh akan terlepas dari mereka beban dan kesakitan dan mereka akan menuju ke dalammu (syurga), para syaitan pula digari dan mereka tidak mampu melakukan apa yang boleh mereka lakukan pada waktu lain, kemudian mereka semua (orang berpuasa) akan diampunkan sehingga ke akhir malam. Ditanya kepada baginda s.a.w, “Wahai Rasulullah apakah ia malam Lailatulqadar? Jawab baginda, “Tidak, tetapi orang yang beramal akan diganjari jika laksanakan amalannya”. (riwayat Imam Ahmad dalam musnadnya)

Berdasarkan hadis di atas antara keistimewaan yang diberi kepada umat Nabi Muhammad SAW ialah seperti berikut:

1. Mulut orang yang berpuasa lebih harum di sisi Allah SWT dari bau kasturi. Perkataan khuluf bermaksud perubahan bau mulut apabila perut kosong. Baunya memang busuk pada orang ramai tetapi ia di sisi Allah sangat harum kerana ia adalah hasil dari melaksanakan ibadah kepada Allah.

Setiap perkara yang terhasil dari ibadah kepada Allah, ia adalah sangat disukai-Nya. Seperti orang yang mati syahid, ia dikebumikan dengan kesan darah, kerana pada hari Kiamat kelak darah itu akan mengalir dan baunya harum sebagai bukti kesyahidannya mempertahankan agama Allah.

2. Para malaikat memohon keampunan untuk mereka hingga waktu berbuka puasa. Pastinya doa para malaikat akan diperkenankan Allah SWT kerana mereka tidak pernah berbuat maksiat malah mereka sentiasa tunduk dan patuh kepada perintah Allah.

Mereka diberi tugas mendoakan kaum muslimin dari kalangan umat ini yang sedang berpuasa sebagai tanda keistimewaan kedudukan umat Nabi Muhammad SAW.

3. Allah SWT menghiasi syurga-Nya setiap hari sebagai persiapan menyambut kehadiran orang yang berpuasa dan sebagai galakan agar mereka berusaha menambahkan amal ibadat di bulan ini.

Mereka juga akan dilepaskan daripada beban dan kesusahan di dunia seterusnya mudah melaksanakan segala macam ibadah.

4. Syaitan digari dengan rantai menyebabkan mereka tidak boleh mengganggu orang-orang yang soleh. Ini merupakan bantuan Allah kepada mereka di mana Ia mengurung musuh umat manusia yang mengajak mereka ke lembah neraka.

Justeru ketika datangnya Ramadan akan timbullah keinginan beribadat yang tinggi.

5. Allah mengampuni orang yang berpuasa pada setiap hujung malam di bulan ini sekiranya mereka bangun mengerjakan ibadah, bertaubat dan bermunajat kepada-Nya serta melaksanakan ibadah puasa di siang hari dengan penuh kekhusyukan.

Demikianlah ganjaran dan keistimewaan yang menanti mereka yang benar-benar menghayati amal ibadah di bulan Ramadan yang mulia ini. Mudah-mudah kita termasuk di kalangan golongan yang menyambut ketibaan Ramadan dengan penuh kegembiraan.

Inilah kelebihan yang dijanjikan kepada umat ini yang tiada pada umat yang terdahulu. Allah berfirman: Kamu adalah umat yang terbaik yang dilahirkan untuk manusia, menyuruh kepada yang makruf, dan mencegah dari yang munkar, dan beriman kepada Allah. sekiranya ahli Kitab beriman, tentulah itu lebih baik bagi mereka, di antara mereka ada yang beriman, dan kebanyakan mereka adalah orang-orang yang fasik. (ali-‘Imran: 110).

Tiada ulasan:

MEDAL OF HONOR TO ALL MY FOLLOWERS. PLACE IT TO YOUR BLOG.TQ FOR YOUR SUPPORT.

WSB

PENAFIAN / DENIAL

B'jue Corner tidak bertanggungjawab terhadap sebarang kehilangan atau kerosakan yang dialami kerana menggunakan kandungan di dalam blog ini.

B'jue Corner irresponsible on any loss or damage undergone because use content in this blog.

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...