Jumaat, 3 Februari 2017

Sejarah Camel Trophy 4×4 Dan Land Rover

Generasi baru penggemar 4×4 yang lahir penghujung tahun 90-an mungkin tidak menyedari tentang wujudnya satu acara 4×4 bertaraf dunia yang ulung suatu ketika dahulu. Ia dinamakan Camel Trophy sempena dengan nama….err….sekotak rokok.
Apa nak hairan kerana suatu ketika dulu semua jenis sukan ditaja oleh syarikat rokok. Camel Trophy merupakan suatu pertandingan berasaskan kenderaan yang diadakan sejak tahun 1980 hinggalah edisi terakhir pada tahun 2000.
Ia juga cukup terkenal dengan imej Land Rover berwarna kuning pasir yang menjadi kenderaan rasmi Camel Trophy (Macam terdengar je muzik latar Camel Trophy di telinga masa tengah menaip).
BERMULA DI TRANS-AMAZON
Ianya bermula pada tahun 1980 dengan berlatarbelakangkan lebuh raya Trans-Amazon yang sedang dibina. Acara ini bukan sekadar kembara 4×4 tetapi juga dikaitkan dengan pengembaraan dan eksplorasi.
Lapan tahun seterusnya acara ini diadakan merentasi Sumatra, Papua New Guinea, Zaire, Brazil, Borneo, Australia, Madagascar dan Sulawesi sebelum kembali ke Amazon. Acara yang digelar Olimpik 4×4 ini cukup menguji ketahanan peserta dari serata dunia untuk untuk menjuarai pertandingan yang sangat mencabar fizikal dan mental peserta.

Semangat berpasukan akan diperah sehingga ke saat akhir. Terdapat juga elemen “Special Tasks” seperti kemahiran menggunakan winch dan ujian masa. Di sinilah wakil setiap negara akan diuji sebelum layak bergelar juara. Kesemua wakil dipilih melalui pertandingan saringan yang dilakukan di negara asal mereka.
Bermula tahun 1990, Camel Trophy telah berpindah ke Siberia dan Rusia, diikuti oleh Tanzania, Burundi, Guyana, Argentina, Paraguay, Chile, Belize, Mexico, Guatemala, El Salvador, Honduras, Kalimantan dan Monggolia.
Setiap pertandingan mengekalkan format yang sama iaitu meredah lumpur belantara dan mengharungi sungai serta jeram tetapi pada edisi penghujungnya format pertandingan telah bertukar di mana ia menjadi seperti pertandingan menguji ketahanan diri dan bukan lagi berteraskan kenderaan.
Acara seperti berkayak, basikal gunung dan sukan musim sejuk diperkenalkan untuk menguji kebolehan peserta.
Walaupun pertandingan ini dikatakan banyak menjejaskan alam sekitar namun ia juga menyumbangkan beberapa perkara untuk kebaikan masyarakat setempat.
Contohnya pada edisi 1993, semua peserta berusaha untuk membina stesen penyelidikan khusus untuk pengkaji hidupan liar di kawasan yang belum pernah diteroka. Dalam semua edisi juga, konvoi Camel Trophy telah membuka kembali laluan-laluan lama yang telah ditinggalkan di pendalaman belantara untuk kegunaan penduduk setempat. Mereka juga membaiki kembali jambatan-jambatan serta laluan-laluan yang terjejas.

Camel Trophy juga sudah sinonim dengan Land Rover selaku sekutu utama dalam pertandingan ini. Ia juga menjadi platform untuk Land Rover menguji kenderaan 4×4 mereka ke tahap maksima.
Antara model Land Rover yang pernah menjadi kenderaan rasmi Camel Trophy ialah Range Rover, Land Rover Series III, Land Rover 110, Land Rover Series 90, Range Rover TD, Land Rover Disvovery Tdi dan Land Rover Freelander.
Menariknya Camel Trophy ialah segala kelengkapan termasuk kenderaan disediakan oleh pihak penaja. Ini menjadikannya satu-satu acara seumpamanya di dunia. Ia juga menjadikan pertandingan ini lebih adil kerana spesifikasi kenderaannya yang sama. Tiada siapa boleh mengaku kenderaannya lebih power daripada orang lain.

Semua kenderaan ini telah dinaik taraf oleh Land Rover dengan pelbagai peralatan sokongan yang diperlukan untuk mengharungi belantara di serata dunia. Antara peralatan yang dilengkapkan ialah:
  • Roll cage keselamatan
  • Perlindungan bahagian bawah badan khususnya bahagian stereng
  • Sistem elektrik
  • Winch
  • Snorkel jenama Mantec
  • Sistem pernafasan transmisi
  • Tayar Michelin XCL ataupun BF Goodrich Mud Terrain
  • Komponen suspensi dan kotak gear
  • Tangki bahan api tambahan
  • Rak bumbung Brownchurch
  • Lampu-lampu jenama Hella
  • Plak tradisi Camel Trophy dan stiker-stiker penaja (MAS juga adalah salah satu penaja rasmi Camel Trophy)
Selain daripada itu peserta juga turut dibekalkan dengan pelbagai peralatan rasmi Camel Trophy seperti pakaian, but, beg, jam tangan dan sebagainya.
Menariknya, selain daripada kenderaan sokongan dan bantuan, kesemua Land Rover yang digunakan untuk Camel Trophy cuma digunakan sekali sahaja. Setengah peserta akan membelinya untuk dibawa pulang dan sebahagian besar ditinggalkan untuk dijual di negara tuan rumah.
Ia cukup menarik kerana kesemua Land Rover ini mempunyai perbatuan yang rendah (ia digelar “Camel Trophy Miles”). Land Rover akan menanggalkan kesemua aksesori tambahan dan diijual kepada sesiapa yang berminat.

Kerjasama Land Rover dan Camel Trophy berakhir pada tahun 1999 bila formatnya berubah kepada pertandingan untuk menguji ketabahan dan ketahanan peserta dan bukan lagi berteraskan kenderaan.
Sepanjang 18 tahun sejarah Camel Trophy, Itali muncul sebagai pemenang terbanyak iaitu tiga kali. Belanda, Perancis, Jerman dan Turki masing-masing pernah memenangi sebanyak dua kali. Malaysia juga pernah menyertai Camel Trophy sebanyak empat kali tetapi gagal memperolehi kejuaraan (macam pasukan bola Malaysia jugak la) .
Malaysia mengumpul markah tertinggi sepanjang empat kali penyertaan pada edisi 1987 yang diadakan di Madagascar dan salah seorang wakil Malaysia ialah Allahyarham Halim Abdul Rahman yang merupakan salah seorang otai 4×4 dan salah seorang pengasas Petronas Adventure Team (PAT).
Beliau telah berpasangan dengan See Toh Ying pada edisi tersebut. Malaysia juga pernah menjadi tuan rumah Camel Trophy edisi 1993 yang diadakan di Sabah, jangan tak tahu ok?
Camel Trophy berakhir secara rasmi bila RJ Reynolds (pemilik jenama Camel Trophy) telah menjual sahamnya kepada Japan Tobacco Inc. (JTI) yang telah memutuskan untuk menukar hala tuju syarikat.
Daripada meneruskan kegemilangan Camel Trophy mereka telah memilih untuk mengubah fokus kepada jenama fesyen Camel Active. Inilah jenama yang menggantikan Camel Trophy dan dipasarkan dengan meluas di seluruh dunia.
Catat Ulasan

MEDAL OF HONOR TO ALL MY FOLLOWERS. PLACE IT TO YOUR BLOG.TQ FOR YOUR SUPPORT.

WSB

PENAFIAN / DENIAL

B'jue Corner tidak bertanggungjawab terhadap sebarang kehilangan atau kerosakan yang dialami kerana menggunakan kandungan di dalam blog ini.

B'jue Corner irresponsible on any loss or damage undergone because use content in this blog.

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...