Tidak semua jenis pergerakan membatalkan
solat, namun yang pasti adalah mengurangkan pergerakan yang tidak
berkaitan dengan solat adalah cara
terbaik bagi menyempurnakannya. Pun begitu, bagaimanakah erti bergerak
yang membatalkan solat di dalam mazhab Syafie? Tulisan ini menjelaskan
dengan ringkas.
Tamakninah adalah salah satu rukun dalam
solat menurut beberapa mazhab dan mazhab Syafie adalah antara yang
berijtihad menyatakan solat boleh batal jika bergerak besar
berturut-turut melebihi tiga kali gerakan. Ini
berdasarkan dalil perlunya tamakninah. Tiada dalil khusus berkenaan hal
ini kecuali dalil umum iaitu keperluan untuk menyempurnakan tamakninah
yang disebut oleh Nabi sallallahu ‘alaihi wasallam kpeada seorang lelaki
yang disuruh ulangi solatnya kerana tidak betul:
فَارْجِعْ فَصَلِّ فَإِنَّكَ لَمْ تُصَلِّ ……ثُمَّ ارْكَعْ حَتَّى تَطْمَئِنَّ رَاكِعًا ثُمَّ ارْفَعْ حَتَّى تَسْتَوِيَ قَائِمًا ثُمَّ اسْجُدْ حَتَّى تَطْمَئِنَّ سَاجِدًا
Maksudnya: “ ulangi solatmu dan solatlah sessunghuhnya engkau belum menyempurnakan solatmu……kemudian hendaklah kamu rukuk dan sehingga berhenti sekejap (tamakninah) dalam keadaan rukuk itu, dan kemudian bangun dan berdiri tegak dan kemudian sujud sehingga berhenti sekejap (tamakninah) dalam keadaan sujud.” (Riwayat al-Bukhari)
Tamakninah adalah rukun menurut tiga mazhab
dan wajib dalam mazhab Hanafi. Hasil dari itu, penyempurnaan tamakninah
dilihat tidak mampu disempurnakan kecuali dengan menahan diri dan
pergerakn besar menurut mazhab Syafie.
Imam An-Nawawi menjelaskan penentuan sesuatu
pergerakan itu ‘Besar’ atau ‘Kecil’ mempunyai empat bentuk pandangan
dalam mazhab seperti berikut:-
KECIL : adalah yang tidak sampai tempoh
pergerakan itu satu raka’at. BESAR: Jika melebihi, pastinya itu dikira
besar dan membatalkan solat.
KECIL : Setiap pergerakan yang tidak
memerlukan dua belah tangan, seperti mengangkat serban, menyentuh untuk
lantikan imam di hadapan, memegang kepala atau telinga, itu semua
dianggap kecil. BESAR: Jika pergerakan itu memerlukan dua belah tangan
seperti mengikat serban, memakai seluar atau kain, itu semua dikira
besar.
KECIL : pergerakan yang tidak membuat orang yang melihat bersangka si pelakunya di luar solat. BESAR : pergerakan yang menyebabkan orang melihat bersangka pelakunya di luar solat.
KECIL : kembali kepada penentuan adat
dan uruf setempat yang pada adatnya masyarakat anggapnya kecil. BESAR :
juga berdasarkan adat. Imam An-Nawawi menyebut pandangan yang keempat
ini yang paling sahih dan pandangan ulama Syafie yang teramai. Kata
beliau
وهو الأصح وقول الأكثرين
Ertinya : ini yang paling sahih dan merupakan pendapat teramai.[1]
Kemudian, Imam An-Nawawi jug menyimpulkan
jika dua kali pergerakan besar ia masih tidak membatalkan solat, jika
tidak berturut-turut, itu juga tidak membatalkan solat.
KESIMPULAN
Kesimpulannya, saya cenderung kepada menyarankan agar
memastikan tidak bergerak banyak sama ada besar atau kecil adalah sifat
solat sempurna. Namun jika pergerakan kerana dharurat yang diterima
oleh Islam seperti mengelak bahaya, mengelak api dan sepertinya ia tidak
membatalkan solat. Majoriti mazhab lain seperti Hanbali dan Hanafi
tidak ada kaedah yang menyatakan pergerakan banyak akan membatalkan
solat dan fatwa dan ijtihad mereka tentunya tidak boleh diketepikan
begitu sahaja, hasilnya saya suka menasihatkan agar mengelakkan khilaf,
dan jika berlaku pegerakan yang banyak berturut-turut dan masih ada
waktu untuk mengulangi solat, sebaiknya solat dianggap batal dan
diulangi.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan