Rabu, 9 Mei 2018

Hukum Makan Dan Minum Dengan Bekas Bersadur Emas

Bekas yang dibuat dari logam selain emas dan perak kemudian disadurkan luarannya dengan warna keemasan (yakni bukan disadur dengan emas, tetapi dengan bahan yang memberi warna keemasan), ia harus digunakan kerana yang diambil perkiraan bukan warna luarannya, tetapi bahan pembuatannya. Oleh kerana bahan pembuatannya bukan dari emas dan perak, maka ia tidak tertakluk dengan larangan Nabi SAW dalam hadisnya walaupun warnanya keemasan seperti emas. Di dalam hadis, Nabi SAW hanya melarang bekas yang diperbuat dari emas dan perak sahaja (tanpa menyebut bekas dari bahan selain keduanya). Sabda Nabi SAW (bermaksud):
“Jangan kamu minum dalam bekas dari emas dan perak dan jangan kamu makan dalam pinggan dari keduanya kerana sesungguhnya ia untuk mereka (yakni orang-orang kafir) di dunia dan untuk kamu di akhirat” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim dari Huzaifah r.a.)
Hadis di atas walaupun hanya menyebutkan larangan bekas emas dan perak untuk makan dan minum, namun dikiaskan kepadanya peralatan-peralatan yang lain yang dibuat darinya untuk kegunaan lainnya kerana jika untuk kegunaan terpenting manusia (iaitu makan dan minum) ia dilarang, maka kegunaan yang kurang penting darinya lebih-lebih lagilah dilarang. Berkata Imam an-Nawawi; “Telah disepakati oleh sekelian ulamak bahawa diharamkan menggunakan bekas dari emas dan perak sama ada untuk makan, minum, bersuci atau bentuk-bentuk penggunaan yang lain, sama ada bekas itu besar atau kecil, sama ada yang menggunakannya itu lelaki atau perempuan” (Syarah Soheh Muslim, Imam an-Nawawi). Termasuk yang diharamkan ialah jam dan pen dari emas dan perak. (Syeikh Majid al-Hamawi, ta’liq ‘ala Matn al-Ghayah wa at-Taqrib, hlm. 28).
Adapun jika ia disadurkan dengan emas sebenar, hukumnya mengikut mazhab adalah seperti berikut:
  1. Mazhab Hanafi – bekas yang disadur dengan emas dan perak harus digunakan jika kandungan emas itu tidak mungkin dipisahkan lagi dari bekas.
  2. Mazhab Syafiie – harus menggunakan bekas yang disadur dengan emas dan perak jika saduran itu sedikit iaitu tidak dapat dipisahkan lagi dari bekas. Jika kandungan emas itu banyak iaitu dapat dipisah dari bekas yang disadur itu (melalui peleburan atau sebagainya), haram menggunakannya. Menurut mazhab Syafiie juga; jika bekas emas atau perak disadur dengan logam lain, harus digunakan kerana tidak ada lagi kebanggaan emas padanya.
  3. Mazhab Hanbali – bekas yang disadur dengan emas dan perak haram digunakan sama seperti haramnya bekas emas dan perak itu sendiri. Namun jika berubah sifat emas setelah proses saduran iaitu warnanya tidak lagi kelihatan seperti emas, harus digunakan dengan syarat kandungan emas tidak lagi dapat dipisahkan dari bekas yang disadur itu.
  4. Mazhab Maliki; Tidak haram menggunakan bekas yang disadur dengan emas kerana ia mengikut hukum bekas, bukan hukum emas.
(al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyah (1/119, Aniyah), Mughni al-Muhtaj (1/129, kitab at-Toharah), al-Insaf (1/478, bab Sitr al-’Aurah), As-Syarh al-Kabir Li ad-Dardir (1/63)).

Kesimpulanya, menurut jumhur ulamak; bekas yang disadur dengan emas; jika saduran itu sedikit iaitu tidak dapat dipisahkan lagi dari bekas, tidak haram menggunakan bekas saduran tersebut kerana emasnya telah musnah dalam logam lain, maka dihukumkan seperti tiada. Namun jika saduran emas itu banyak di mana ia dapat dipisahkan dari bekas(melalui pelebutan atau sebagainya), haram menggunakannya kerana ia masih wujud dan menggunakan bekas itu sama sepert menggunakan bekas emas. (Fiqh al-Albisah wa az-Zinah, ‘Abdul-Wahhab Tawilah, hlm. 369).

Tiada ulasan:

MEDAL OF HONOR TO ALL MY FOLLOWERS. PLACE IT TO YOUR BLOG.TQ FOR YOUR SUPPORT.

WSB

PENAFIAN / DENIAL

B'jue Corner tidak bertanggungjawab terhadap sebarang kehilangan atau kerosakan yang dialami kerana menggunakan kandungan di dalam blog ini.

B'jue Corner irresponsible on any loss or damage undergone because use content in this blog.

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...