Haruman daripada minyak wangi yang
dipakai seorang wanita yang melintas di hadapan tadi masih kuat berbau
walaupun wanita itu sudah hilang daripada pandangan.
Dalam hati memuji-muji bau haruman minyak wanginya dan tertanya-tanya jenama apakah minyak wangi yang dipakai oleh wanita itu.
Hmm, jika saya, yang juga seorang wanita
pun terpikat dan sukakan bau yang datang daripada wanita itu, kaum Adam
juga pasti menyukainya dan mereka pasti akan tertoleh-toleh untuk
melihat gerangan wanita yang berbau sangat harum itu.
Jika hal demikian terjadi, maka berdosalah wanita itu kerana telah menarik minat (atau mungkin nafsu) kaum Adam terhadapnya.
Memang menjadi fitrah manusia sukakan
sesuatu yang cantik dan wangi. Ini kerana Allah juga sukakan kecantikan
dan menggalakkan hamba-Nya berhias dengan pakaian yang cantik untuk
mengerjakan ibadah. Hal ini bersesuaian dengan maksud surah Al-A’raaf,
ayat yang ke-31:
“Wahai anak-anak Adam, pakailah pakaian kamu yang indah berhias pada tiap-tiap kali kamu ke tempat ibadah (atau mengerjakan solat), dan makanlah serta minumlah, dan jangan pula kamu melampau, sesungguhnya Allah tidak suka akan orang yang melampaui batas.”
Galakan untuk berhias ini bukan sahaja
untuk kaum lelaki, bahkan juga untuk kaum wanita. Akan tetapi, perhiasan
kaum wanita hanya terhad kepada golongan tertentu. Mereka tidak boleh
berhias dan mempamerkan perhiasan mereka pada khalayak ramai seperti
firman Allah dalam surah An-Nuur, ayat 31 yang bermaksud:
“Dan katakanlah kepada perempuan-perempuan yang beriman supaya menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram), dan memelihara kehormatan mereka; dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali yang zahir daripadanya; dan hendaklah mereka menutup belahan leher bajunya dengan tudung kepala mereka; dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka melainkan kepada suami mereka, atau bapa mereka atau bapa mertua mereka atau anak-anak mereka, atau anak-anak tiri mereka, atau saudara-saudara mereka, atau anak bagi saudara-saudara mereka yang lelaki, atau anak bagi saudara-saudara mereka yang perempuan, atau perempuan-perempuan Islam, atau hamba-hamba mereka, atau orang gaji dari orang-orang lelaki yang telah tua dan tidak berkeinginan kepada perempuan, atau kanak-kanak yang belum mengerti lagi tentang aurat perempuan; dan janganlah mereka menghentakkan kaki untuk diketahui orang akan apa yang tersembunyi dari perhiasan mereka; dan bertaubatlah kamu sekalian kepada Allah, wahai orang-orang yang beriman, supaya kamu berjaya.”
Terdapat beberapa hukum tentang wanita memakai minyak wangi iaitu harus, sunat, makruh dan haram. Wallahu’alam.
Harus
Seseorang wanita itu dikatakan harus
memakai wangi-wangian ketika suami berada di rumah terutamanya ketika
ingin melayan suami mereka. Selain daripada itu, wanita tidak diharuskan
memakai wangi-wangian. Nabi s.a.w telah bersabda yang bermaksud:
“Sebaik-baik wanita (isteri) ialah jika kamu memandangnya sentiasa menyenangkan hati kamu…” (Riwayat an-Nasa’is dari Abu Hurairah)
Ini bererti seorang wanita itu haruslah
sentiasa kelihatan menarik dari segi akhlak dan penampilannya agar dapat
menyenangkan hati suaminya.
Sunat
Sunat bagi wanita berwangian ketika
berada di rumahnya, ketika ingin menunaikan solat dan beribadah di dalam
rumahnya, dan juga ketika menyambut tetamu wanita.
Terdapat hadis yang menjelaskan wanita
juga digalakkan berwangi-wangian tetapi bukan pada tempat yang telah
dilarang. Rasulullah telah bersabda yang bermaksud:
“Wangi-wangian lelaki ialah yang jelas baunya dan tersembunyi warnanya. Sementara wangi-wangian wanita pula ialah yang cemerlang (jelas) warna dan tersembunyi baunya” (Riwayat al-Tarmizi)
Wanita juga disunatkan memakai wangian sebelum melakukan ihram. Aisyah r.a berkata:
“Kami (isteri-isteri Rasulullah s.a.w) pergi menunaikan haji bersama Rasulullah s.a.w. Ketika hendak berihram, kami memakai minyak wangi yang terbaik di kening kami. Ketika salah seorang di antara kami berpeluh, minyak wangi itu akan mengalir hingga ke muka dan Rasulullah s..aw melihat hal itu, tetapi tidak menegur kami (ertinya nabi s.a.w tidak melarang)” (Riwayat Ahmad dan Abu Daud)
Makruh
Hukum berwangi-wangian ketika berpuasa
adalah makruh. Ini telah umum disepakati oleh ulama dan terdapat
penjelasan dalam bab puasa.
Keterangan yang dapat dipegang dan
dijadikan alasan ialah fatwa Imam Syafie dan Qaliyubi yang menyatakan
“makruh memakai wangi-wangian ketika berpuasa”. Menurut Qaliyubi
pendapat itu ialah pendapat ijmak.
Haram
“Seorang wanita yang memakai bau-bauan dan melintasi satu kaum (orang banyak) maka dia itu adalah perempuan zina” (Abu Dawud, Tirmidzi)
Nabi s.a.w bersabda:
“Siapa saja perempuan yang memakai minyak wangi kemudian keluar ke masjid nescaya tidak diterima solatnya sehingga ia mandi dahulu (membersihkan dirinya dari wangi-wangian tersebut).” (Sahih riwayat Ibnu Majah dari jalan Abu Hurairah)
Abu Hurairah menceritakan bahawa dia
pernah bertemu dengan seorang wanita sedang pulang daripada masjid dan
ia berbau wangiannya, lalu beliau menegur:
“Wahai hamba Allah, apakah kamu pulang dari masjid. Rasulullah s.a.w pernah bersabda bahawa Allah s.w.t tidak akan menerima solat wanita yang memakai bau-bauan ke masjid sehingga dia pulang dan mandi……” (Abu Daud, An-Nasaie, Ibnu Majah dan Al-Baihaqi)
Abu Musa meriwayatkan bahawa Nabi s.a.w bersabda:
“Setiap mata itu berzina (apabila memandang dengan nafsu wanita yang asing). Dan seorang wanita yang memakai wangi-wangian kemudian melalui sesuatu majlis, maka ia adalah demikian, demikian…(penzina)” (Riwayat Tirmidzi)
Daripada hadis-hadis di atas, maka
jelaslah bahawa kaum wanita diharamkan memakai wangi-wangian ketika
keluar dari rumah dan juga dilarang berhias berlebih-lebihan kecuali di
rumah terutamanya di hadapan suaminya.
Allah jualah yang Maha Mengetahui. Wassalam.