HATI ibu mana yang tidak gembira
tatkala anak gadisnya dipinang orang. Sukanya hati bukan kepalang lalu
pelbagai langkah bersiap untuk melangsungkan pernikahan dijalankan
menurut tertib dan adat.
Biasanya ibu dan ayah akan
bertungkus-lumus berusaha menjadikan majlis akad nikah puteri
kesayangannya dengan penuh komitmen supaya meriah dan ceria.
Adalah wajar ibu bapa pengantin wanita memberikan petua dan nasihat buat anaknya yang bakal melangsungkan pernikahannya. Nasihat supaya anak memelihara dan menjaga alam rumah tangganya sebaik yang terdaya.
Inilah yang pernah dilakukan isteri ‘Auf
ibnu Mihlam Asy-Syaibani yang dikatakan ada memberi nasihat kepada
puterinya yang akan bernikah dengan Raja Kindah. Pesan isteri ‘Auf Ibnu
Mihlam Asy-Syaibani: “Puteriku, kini engkau meninggalkan tempat
kelahiran menuju rumah baru dan orang baru yang belum pernah engkau
ketahui keadaan dan wataknya. Maka, jadilah engkau sebagai pengabdi yang
baik bagi suamimu, supaya dia menjadi pengabdi yang baik juga bagimu.
Perhatikan baik-baik sepuluh perkara daripadaku supaya ia menjadi modal
bagi hidupmu.”
Begitulah kasihnya isteri ‘Auf terhadap
anak gadisnya, tetapi kasihnya itu bukan mengadakan majlis besar-besaran
dan serba mewah, kasih sayang dizahirkan melalui kaedah menyalurkan
nasihat berguna buat anaknya melayari alam rumah tangga supaya aman
sejahtera dan bahagia.
Pesanan pertama kepada anaknya: “Jadilah
engkau sebagai pendamping hidupnya yang selalu menerima apa adanya.
Sebenarnya nasihat isteri ‘Auf itu bertepatan kehendak agama kerana
sikap qanaah, bersedia dengan hati lapang terhadap kemampuan suami, menu
keharmonian rumah tangga”. Erti kata lain, isteri tidak sesekali
membebankan suami yang di luar batas kemampuannya. Inilah seharusnya ada
pada diri seorang isteri solehah.
Seterusnya pesanan kedua beliau:
“Bergaullah engkau bersama suamimu dengan cara mendengar dan
mentaatinya.” Seorang Ulama’ pernah mengatakan: “Seseorang isteri itu
hendaklah memberikan layanan pada suaminya, memelihara anak, mengatur
urusan rumah tangga sebaik mungkin. Hendaklah dia memberikan layanan
pada suami dengan layanan yang wajar dan sesuai keadaan.”
Isteri ‘Auf berkata lagi: “Tunjukkanlah
dirimu di hadapan matanya sebagai seseorang yang paling menarik baginya
dan tampilkan dirimu di hadapan hidungnya sebagai seseorang yang paling
harum.” Kebijaksanaan dan kesediaan isteri menonjolkan imej peribadi
dalam aspek lahiriah dan dalaman mampu mewujudkan hubungan lebih intim
pasangan suami isteri. Ia ibarat suatu tembok pengukuh dalam membina
keluarga bahagia melalui landasan diredai Allah.
Beliau juga berpesan supaya
memperhatikan penjadualan waktu makan yang betul dan tepat serta menjaga
ketenteraman masa tidur. Jadi, jika diteliti apa dipesan isteri ‘Auf
kepada anak gadisnya, sesuai dan relevan dijadikan sebagai pedoman kita
semua.
Pesanan lain, “Sesungguhnya kelaparan
seseorang akan menyebabkannya mudah beremosi dan kurang tidur pula
menyebabkan seseorang itu mudah melepaskan kemarahan.”
Ini adalah langkah proaktif isteri mengelakkan suasana kurang baik dalam berkomunikasi dan berhubungan dengan suami. Memang lumrah manusia, emosi menjadi kurang stabil dan mudah dibelenggu rasa kurang tenang apabila perut lapar atau kurang tidur. Lagilah bahaya kerana emosi negatif boleh meletup tanpa disangka. Justeru, apa yang disarankan isteri ‘Auf adalah jalan pintas untuk membendung anasir negatif daripada muncul dalam rumah tangga. Mengamalkan budaya mencintai kebersihan juga ditonjolkan dalam wasiatnya supaya anaknya menjaga kebersihan tempat tinggal, keamanan harta suami dan berikan perhatian kepada suamimu serta keluarganya.
Jika kita amati pesanan itu, kita akan
jumpa peringatan terbaik mengenai penjagaan persekitaran rumah tangga
yang ceria dan bersih. Juga terselit ingatan supaya isteri menjadi
seorang yang beramanah menjaga harta benda dalam rumah tangga.
Pesanan beliau selanjutnya dikira
penting dipelihara rapi oleh isteri. Kata beliau: “Janganlah engkau
membuka rahsia suamimu kepada orang lain dan jangan engkau melanggar
perintahnya”. Islam menegah isteri menceritakan hubungannya dengan suami
atau hal rumah tangga kepada orang lain.
Yang terakhir katanya: “Janganlah engkau
berasa susah ketika dia dalam keadaan senang dan janganlah engkau
berasa senang ketika dia dalam keadaan susah, kerana yang pertama
termasuk moral yang tidak sesuai dan yang kedua termasuk merosakkan
suasana. Jadilah engkau orang paling mengagungkan suamimu, agar dia
menjadi orang yang paling memuliakanmu.” Begitulah pesanan bermanfaat
dan cukup indah dikemukakan isteri ‘Auf Ibnu Syaibah kepada anak
gadisnya. Ibu bapa sewajarnya menitipkan pesanan untuk dijadikan panduan
kepada anak yang akan melangsungkan pernikahan demi kesejahteraan rumah
tangga mereka.
INFO: 10 pesanan jadi isteri solehah
1) Sentiasa menjadi pendamping suami, menerima segala kekurangan dan tidak membebankan suami.
2) Mendengar dan mentaati suami.
3) Memberi layanan baik kepada suami, pelihara anak dan menjaga rumah tangga.
4) Sentiasa tampil menarik dan wangi untuk suami.
5) Mampu mewujudkan hubungan intim yang baik dengan suami.
6) Menjaga makan minum suami yang betul, tepat serta waktu tidur bagi elak emosi suami terganggu.
7) Sentiasa menjaga kebersihan diri dan tempat tinggal.
8) Amanah menjaga harta benda dalam rumah tangga.
9) Isteri tidak boleh membuka aib suami dan hal rumah tangga kepada orang lain.
10) Isteri kena jadi orang yang paling mengagungkan suami.
1) Sentiasa menjadi pendamping suami, menerima segala kekurangan dan tidak membebankan suami.
2) Mendengar dan mentaati suami.
3) Memberi layanan baik kepada suami, pelihara anak dan menjaga rumah tangga.
4) Sentiasa tampil menarik dan wangi untuk suami.
5) Mampu mewujudkan hubungan intim yang baik dengan suami.
6) Menjaga makan minum suami yang betul, tepat serta waktu tidur bagi elak emosi suami terganggu.
7) Sentiasa menjaga kebersihan diri dan tempat tinggal.
8) Amanah menjaga harta benda dalam rumah tangga.
9) Isteri tidak boleh membuka aib suami dan hal rumah tangga kepada orang lain.
10) Isteri kena jadi orang yang paling mengagungkan suami.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan