Menggantungkan tangkal di badan untuk
dijadikan sebagai penghadang daripada gangguan makhluk halus atau untuk
menyembuhkan diri daripada sesuatu penyakit boleh dibahagikan kepada dua
bahagian ;
Pertama, menggunakan tangkal yang
mempunyai bahan seperti tulang binatang atau kayu yang dikatakan
berhikmah, atau seumpamanya, para ulama tidak ada khilaf untuk
mengharamkannya, kerana ia boleh menjerumuskan seseorang itu kelembah
syirik.
Sabda Rasulullah saw,
Maksudnya : “ Barangsiapa yang menggantungkan manik-manik (tangkal) maka Allah tidak akan menjaganya. Barangsiapa yang menggantungkan tamimah (tangkal) maka Allah tidak akan menyempurnakan sesuatu untuknya”. (Riwayat Ahmad dan Al-Hakim)
Maksudnya : “ Barangsiapa yang menggantungkan manik-manik (tangkal) maka Allah tidak akan menjaganya. Barangsiapa yang menggantungkan tamimah (tangkal) maka Allah tidak akan menyempurnakan sesuatu untuknya”. (Riwayat Ahmad dan Al-Hakim)
Kedua, adapun menggantungkan tangkal
yang bahannya adalah ayat-ayat Al-Quran, maka dalam hal ini para ulama
berbeza pendapat. Satu golongan mengatakan hukumnya adalah haram dan
satu lagi golongan menyatakan harus.
Antara golongan ulama yang menyatakan
haram ialah Ibnu Abbas, Huzaifah, Abdullah bin Mas’ud, sebahagian ulama
Syafie dan Imam Ahmad bin Hanbal (salah satu riwayat daripadanya).
Mereka berpandukan kepada maksud umum hadis di atas tadi, yang menyebut
dengan jelas bahawa Nabi saw melarang umatnya menggunakan tangkal. Tidak
kiralah sama ada bahan yang digunakannya itu daripada Al-Quran atau
bukan daripada Al-Quran.
Hujah mereka, menggantungkan tangkal
pada badan, boleh menyebabkan diri seseorang hilang penggantungan
(tawakal) kepada Allah SWT. Sedangkan tawakal yang sebenar seseorang
hamba hanyalah kepada Allah SWT sahaja, tidak boleh lain daripada itu.
Perbuatan menggantung tangkal yang
terdapat ayat-ayat Al-Quran juga boleh membawa kepada penghinaan
terhadap ayat-ayat suci Al-Quran. Apatah lagi jika ia di bawa masuk ke
dalam tandas atau sipemakainya terlibat dengan pekerjaan yang bercanggah
dengan syariat seperti pekerjaan maksiat dan sebagainya.
Manakala golongan ulama yang berpendapat
hukum memakai tangkal yang bahannya adalah daripada ayat-ayat Al-Quran
itu adalah harus, didokong oleh Abdullah bin ‘Amru bin Al-‘As, Abu
Jaafar al Baqir dan Imam Ahmad bin Hanbal (salah satu riwayat
daripadanya). Hujah mereka, sahabat Rasulullah saw pernah berbuat
demikian untuk anak-anak mereka yang belum menghafaz Al-Quran.
Menurut Prof Dato’ Dr. Haron Din,
walaupun terdapat perbezaan pandangan ulama tentang hal ini, akan tetapi
perubahan zaman boleh membawa kepada perubahan hukum. Jika dirujuk
kepada zaman sekarang, akidah umat Islam sedang terancam, umat Islam
tidak begitu kuat bergantung kepada Allah, iman mereka begitu rapuh,
mereka tidak lagi memperdulikan halal dan haram, apa yang mereka mahu
ialah kenikmatan hidup yang sementara di dunia, tanpa memperdulikan
untung nasib di akhirat.
Ditambah pula dengan suburnya gejala
maksiat, syirik dan kufur kepada Allah SWT. Oleh yang demikian, jika
penggantungan ummah kepada tangkal, tidak dibendung atau dicegah dengan
sejelas-jelasnya ia akan mendorong masyarakat terjerumus kepada
kerosakkan akidah.
Kesimpulannya, pendapat yang sahih,
keharusan memakai tangkal yang menggunakan ayat-ayat Al-Quran sebenarnya
adalah di awal permulaan Islam. Apabila keimanan para sahabat sudah
kuat tertanam dalam diri, maka Rasulullah saw melarang sama sekali
memakai tangkal walaupun menggunakan ayat-ayat Al-Quran.
Hikmahnya ialah untuk mencegah daripada
keburukkan yang lebih besar, memelihara kesucian Al-Quran dan seterusnya
untuk membulatkan keyakinan bahawa hanya Allah SWT sahaja yang mampu
melindungi manusia daripada segala-galanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan