Buat para ibu, isteri, kakak, adik-adik
perempuan serta para suami dan ayah yang sayangkan isteri dan anak-anak
perempuanya, Rasulullah s.a.w telah memberi amaran berkenaan satu sikap
golongan hawa yang menjadi penghalang mereka daripada mencium bau
syurga. Bau syurga pun tidak dapat dihidu, apatah lagi melangkah kaki
memasukinya. Nauzubillah! Moga Allah melindungi kita semua.
Hadis daripada Abu Hurairah r.a. bahawa
Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud: “Ada dua golongan yang akan
menjadi penghuni neraka. Aku belum pernah melihat mereka iaitu golongan
yang mempunyai cemeti-cemeti bagaikan ekor lembu yang digunakan untuk
memukul orang dan golongan kedua adalah para wanita yang berpakaian
tetapi telanjang, berlenggang-lenggok ketika berjalan, menarik perhatian
orang yang melihat mereka. Kepala mereka bagaikan bonggol unta yang
senget. Mereka tidak akan masuk syurga dan tidak dapat mencium bau
wanginya. Sesungguhnya bau wangi syurga boleh terhidu dari jarak
perjalanan yang sangat jauh.” (Riwayat Muslim no. 3971) Dalam riwayat
Imam Malik, ada sambungan hadis ini iaitu: “…Bau wangi syurga dapat
dihidu dari jarak 500 tahun perjalanan.” (Al-Muwatta’, no. 1421)
Kakak Memakai Baju Adik 8 Tahun
Perbincangan kita kali ini akan tertumpu
kepada golongan kedua yang disebut dalam hadis di atas. Apakah yang
dimaksudkan dengan berpakaian tetapi telanjang? Imam al-Nawawi ketika
mensyarahkan hadis ini menyatakan bahawa ada beberapa makna. Antaranya
ialah perempuan itu menutup sebahagian auratnya dan membuka sebahagian
yang lain atau memakai pakaian yang terlalu nipis sehingga menampakkan
bentuk badannya.
Di dalam kitab al-Muntaqa (Syarah
al-Muwatta’ Imam Malik) pula, ditambah dengan pengertian memakai pakaian
tetapi terlalu ketat sehingga menampakkan bentuk badan. Betapa ramainya
para kakak pada hari ini yang berumur 28 tahun memakai baju adiknya
yang berumur 8 tahun. Memakai baju dengan trend “see through”, kononnya
mengikut peredaran zaman. Walaupun ada inner, tetapi ia tetap
menampakkan bentuk badan. Ada yang merasakan sudah cukup sempurna
apabila menutuk rambut, sedangkan tubuh badan terserlah dengan pakaian
ketat.
Wahai kaum Hawa, peringatan ini adalah
kerana sayangkan kalian, Rasulullah s.a.w. tersangat sayang kepada
umatnya. Baginda terlalu ingin melihat umatnya melangkahkan kaki ke
syurga yang penuh dengan nikmat yang kekal selamanya.
Baginda juga menjelaskan bahawa para
wanita ini sentiasa berlenggang-lenggok ketika berjalan sehingga
menyebabkan orang lain yang melihatnya tergoda. Inilah cara berjalan
para pelacur pada zaman jahiliah. Inilah cara mereka memperkenalkan diri
dan menarik perhatian para pelanggan.
Syeikh Abdul Majid al-Zindani, seorang
ulama Yaman menerangkan tentang kalimah ‘mumilat’ yang digunakan oleh
Rasulullah s.a.w. dalam hadis ini adalah isim fa’il dengan makna
seseorang yang menyebabkan orang lain menjadi senget. Apabila melihat
perempuan ini berjalan, ada lelaki yang akan menatapnya dengan penuh
ghairah sehingga tersenget badannya ke arah pergerakan perempuan
tersebut. Fesyen rambutnya seperti bonggol unta yang kelihatan
terhuyung-hayang ketika berjalan.
Kesan Negatif
1. Menyusahkan para isteri
Golongan wanita yang berpakaian tetapi
telanjang sebenarnya antara penyebab pelbagai masalah rumah tangga yang
berlaku. Para suami mula membandingkan wanita tersebut dengan isterinya.
Ada juga isteri yang mula menaruh syak wasangka apabila mendapati ada
rakan sekerja suaminya yang berpakaian sedemikian rupa. Apabila
virus-virus ini mula merebak dalam rumah tangga, ia boleh membawa kepada
masalah yang lebih besar.
2. Gangguan seksual terhadap golongan lelaki
Ini adalah satu bentuk gangguan yang
menghilangkan tumpuan orang lelaki. Dalam hadis tersebut menyatakan:
”Sehingga senget orang lelaki yang melihatnya,” iaitu senget fizikal dan
senget akalnya apabila berhadapan dengan nafsu yang membara akibat
bahana golongan wanita tersebut.
3. Mendedahkan diri kepada pelbagai bahaya
Senario hari ini memperlihatkan betapa
banyaknya kes rogol dan pengkhianatan kepada golongan wanita. Salah satu
faktornya adalah apabila golongan lelaki tergoda melihat tawaran hebat
serta promosi percuma wanita yang tidak bermaruah ini. Adakalanya wanita
seksi ini tidak menjadi mangsa tetapi nafsu dilampiaskan kepada
insan-insan lain yang tidak berdosa seperti gadis lain, kanak-kanak
bahkan ada yang menjadikan anak sebagai mangsa.
4. Tidak menghidu bau syurga
Golongan berpakaian tetapi telanjang ini tidak dapat menghidu bau syurga apatah lagi memasukinya.
Sukar untuk Berubah
Ramai wanita yang menyedari kesilapan
ini. Bahkan betapa ramai suami yang berasa bersalah melihat keadaan
isterinya yang setiap hari ke tempat kerja dalam keadaan berpakaian
tetapi telanjang. Sukarnya mengubah penampilan diri. Tambahan pula
apabila ada yang suka menyindir melihat perubahan positif yang cuba
diusahakan.
Dalam situasi ini, ingatlah perumpamaan
yang dibuat oleh Rasulullah s.a.w. berkenaan sahabat. Sahabat yang baik
seperti penjual minyak wangi, walaupun kita tidak memperoleh minyak
wanginya, tetapi pasti dapat menumpang wangiannya. Bersahabat dengan
kawan yang jahat pula seperti berkawan dengan tukang besi, walaupun
tidak terkena percikan api, tetapi masih tidak mampu mengelak bau asap
yang terkena pada badannya.
Carilah sahabat yang menjual minyak
wangi, walalupun anda tidak membelinya tetapi anda pasti menjadi wangi
kerana dapat mencubanya secara percuma setiap hari.
Artikel oleh Ustaz Syed Nurhisham – Solusi Isu #21
Tiada ulasan:
Catat Ulasan