1) 
Makan dan minum dengan bebas setelah batal puasa dengan sengaja
  (bukan kerana uzur yang diterima Islam). Perlu diketahui bahawa 
sesiapa  yang batal puasanya dengan sengaja tanpa uzur seperti 
mengeluarkan mani  secara sengaja, merokok, makan dan minum. Ia dilarang
 untuk makan dan  minum lagi atau melakukan apa jua perkara yang 
membatalkan puasa yang  lain sepanjang hari itu. (Fiqh as-Siyam, 
Al-Qaradawi, hlm 112). 
Ia  dikira denda yang pertama baginya selain kewajiban menggantikannya  
kemudiannya. Keadaan ini disebut di dalam sebuah hadith, Ertinya :  
"sesungguhnya sesiapa yang telah makan (batal puasa) hendaklah ia  
berpuasa baki waktu harinya itu" (Riwayat al-Bukhari) 
2) 
Makan sahur di waktu tengah malam kerana malas bangun di akhir malam.
  Jelasnya, individu yang melakukan amalan ini terhalang dari mendapat  
keberkatan dan kelebihan yang ditawarkan oleh Nabi SAW malah bercanggah 
 dengan sunnah baginda. "Sahur" itu sendiri dari sudut bahasanya adalah 
 waktu terakhir di hujung malam. Para Ulama pula menyebut waktunya 
adalah  1/6 terakhir malam. (Awnul Ma'bud, 6/469). Imam Ibn Hajar 
menegaskan  melewatkan sahur adalah lebih mampu mencapai objektif yang 
diletakkan  oleh Nabi SAW. (Fath al-Bari, 4/138) 
3) Bersahur dengan hanya makan & minum sahaja tanpa ibadah lain.  
Ini satu lagi kesilapan umat Islam kini, waktu tersebut pada hakikatnya 
 adalah antara waktu terbaik untuk beristigfar dan menunaikan solat  
malam. 
Firman  Allah ketika memuji orang mukmin ertinya : " dan ketika 
waktu-waktu  bersahur itu mereka meminta ampun dan beristighfar" 
(Az-Zariyyat : 18) 
يا رسول الله , أي الدعاء أسمع ؟ : قال : جوف الليل الأخير ودبر الصلوات المكتوبة
Ertinya  : "Ditanya kepada Nabi (oleh seorang sahabat) : Wahai 
Rasulullah :"  Waktu bilakah doa paling didengari (oleh Allah s.w.t) ; 
jawab Nabi :  Pada hujung malam (waktu sahur) dan selepas solat fardhu" (
 Riwayat  At-Tirmidzi, no 3494 , Tirmidzi & Al-Qaradhawi : Hadis 
Hasan ; Lihat  Al-Muntaqa , 1/477)
4) 
Tidak menunaikan solat ketika berpuasa.  Ia adalah satu 
kesilapan yang maha besar. Memang benar, solat bukanlah  syarat sah 
puasa. Tetapi ia adalah rukun Islam yang menjadi tonggak  kepada 
keislaman sesorang. Justeru, ‘ponteng' solat dengan sengaja akan  
menyebabkan pahala puasa seseorang itu menjadi ‘kurus kering' pastinya. 
5) 
Tidak mengutamakan solat Subuh berjemaah sebagaimana Terawih. 
 Ini jelas suatu kelompongan yang ada dalam masyarakat tatakala  
berpuasa. Ramai yang lupa dan tidak mengetahui kelebihan besar semua  
solat fardhu berbanding solat sunat, teruatamnya solat subuh berjemaah  
yang disebutkan oleh Nabi SAW bagi orang yang mendirikannya secara  
berjemaah, maka beroleh pahala menghidupkan seluruh malam. 
6) 
Menunaikan solat terawih di masjid dengan niat inginkan meriah.
  Malanglah mereka kerana setiap amalan di kira dengan niat, jika niat  
utama seseorang itu ( samada lelaki atau wanita) hadir ke masjid adalah 
 untuk meriah dan bukannya atas dasar keimanan dan mengharap ganjaran  
redha Allah sebagaimana yang ditetapkan oleh Nabi SAW di dalam hadith  
riwayat al-Bukhari. Maka, "Sesungguhnya sesuatu amalan itu dikira dengan
  niat". (Riwayat al-Bukhari) 
7) 
Bermalasan dan tidak produktif dalam kerja-kerja di siang hari  dengan alasan berpuasa.
 Sedangkan, kerja yang kita lakukan di pejabat  dengan niat ibadat 
pastinya menambahkan lagi pahala. Justeru, umat Islam  sewajarnya 
memperaktifkan produktiviti mereka dan bukan mengurangkannya  di 
Ramadhan ini. 
8) 
Memperbanyakkan tidur di siang hari dengan alasan ia adalah ibadat.
  Sedangkan Imam As-Sayuti menegaskan bahawa hadith yang menyebut  
berkenaan tidur orang berpuasa itu ibadat adalah amat lemah. (al-Jami'  
as-Soghir ; Faidhul Qadir, Al-Munawi, 6/291) 
9) 
Menganggap waktu imsak sebagai ‘lampu merah' bagi sahur.  Ini 
adalah kerana waktu imsak sebenarnya tidak lain hanyalah ‘lampu  amaran 
oren' yang di cadangkan oleh beberapa ulama demi mengingatkan  bahawa 
waktu sahur sudah hampir tamat. Ia bukanlah waktu tamat untuk  makan 
sahur, tetapi waktu amaran sahaja. 
Lalu, janganlah ada yang  memberi alasan lewat bangun dan sudah masuk 
imsak lalu tidak dapat  berpuasa pada hari itu. Waktu yang disepakti 
ulama merupakan waktu  penamat sahur adalah sejurus masuk fajar sadiq 
(subuh). (As-Siyam, Dr Md  ‘Uqlah, hlm 278) 
10) 
Wanita berterawih beramai-ramai di masjid tanpa menjaga aurat.
  Ini nyata apabila ramai antara wanita walaupun siap bertelekung ke  
masjid, malangnya kaki dan aurat mereka kerap terdedah da didedahkan  
berjalan dan naik tangga masjid di hadapan jemaah lelaki. Tatkala itu,  
fadhilat mereka solat di rumah adalah lebih tinggi dari mendatangkan  
fitnah buat lelaki ketika di masjid.
11) 
Memasuki Ramadhan dalam keadaan harta masih dipenuhi dengan harta haram,
  samada terlibat dengan pinjaman rumah, kad kredit, insuran,  pelaburan
 dan kereta secara riba. Ini sudah tentu akan memberi kesan  yang amat 
nyata kepada kualiti ibadah di bulan Ramadhan, kerana status  orang 
terlibat dengan riba adalah sama dengan berperang dengan Allah dan  
RasulNya, tanpa azam dan usaha untuk mengubahnya dengan segera di bulan 
 'tanpa Syaitan' ini, bakal menyaksikan potensi besar untuk gagal terus 
untuk kembali ke pangkal jalan di bulan lain.
Nabi Muhammad menceritakan :-
ذَكَرَ  الرَّجُلَ يُطِيلُ السَّفَرَ أَشْعَثَ أَغْبَرَ يَمُدُّ يَدَيْهِ 
إلى  السَّمَاءِ يا رَبِّ يا رَبِّ وَمَطْعَمُهُ حَرَامٌ وَمَشْرَبُهُ 
حَرَامٌ  وَمَلْبَسُهُ حَرَامٌ وَغُذِيَ بِالْحَرَامِ فَأَنَّى يُسْتَجَابُ
 لِذَلِكَ
Ertinya  :  menyebut tentang seorang pemuda yang bermusafir dalam 
perjalanan  yang jauh, hal rambutnya kusut masai, mukanya berdebu di 
mana dia  mengangkat tangan ke langit : Wahai Tuhanku...wahai Tuhanku...
 sedangkan  makanannya haram, minumannya haram dan pakaiannya haram..Dan
 dia  dibesarkan dengan memakan makanan haram maka bagaimana Kami mahu  
mengabulkan doanya. ( Riwayat Muslim, no 1015, 2/703 ; hadis sohih)
Justeru,  bagaimana Allah mahu memakbulkan doa orang yang berpuasa 
sedangkan  keretanya haram, rumahnya haram, kad kreditnya haram, 
insurannya haram,  simpanan banknya haram, pendapatannya haram?. Benar, 
kita perlu  bersangka baik dengan Allah, tetapi sangka baik tanpa 
meloloskan diri  dari riba yang haram adalah penipuan kata Imam Hasan 
Al-Basri.
12) 
Tidak memperbanyakkan doa tatkala berpuasa dan berbuka. Ini satu lagi jenis kerugian yang kerap dilakukan oleh umat Islam. Nabi SAW telah menyebut :- 
ثلاثة لا ترد دعوتهم , الإمام العادل , والصائم حتى يفطر ودعوة المظلوم
Ertinya  : "Tiga golongan yang tidak di tolak doa mereka, pemimpin yang 
adil,  individu berpuasa sehingga berbuka dan doa orang yang di zalimi" (
  Riwayat At-Tirmizi, 3595, Hasan menurut Tirmizi. Ahmad Syakir : Sohih )
 
Selain itu, doa menjadi bertambah maqbul tatkala ingin berbuka berdasarkan hadith. 
إن للصائم عند فطره دعوة لا ترد 
Ertinya  : 
"Sesungguhnya bagi orang berpuasa itu ketika berbuka (atau hampir  berbuka) doa yang tidak akan ditolak" ( Riwayat Ibn Majah, no 1753,  Al-Busairi : Sanadnya sohih)